Skip to main
Logo Malaysiakini

Sultan Nazrin batal keberangkatan tunaikan solat raya

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah membatalkan hasrat baginda untuk berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Ubudiah dan mengadakan jamuan hari raya di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada hari pertama Syawal.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berkata baginda mengambil maklum status semasa penularan wabak COVID-19 yang dipersembahkan Jabatan Kesihatan Negeri dan Majlis Keselamatan (MKN) Negeri Perak, serta berlandaskan sembah nasihat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak.

“Dengan ini baginda menzahirkan titah perkenan berikut iaitu membatalkan hasrat baginda untuk berangkat bersolat sunat Aidilfitri bersama rakyat di Masjid Ubudiah Kuala Kangsar dan mengadakan acara jamuan Aidilfitri di Istana Iskandariah Kuala Kangsar.

“Masjid dan surau dibenarkan mengadakan solat sunat Aidilfitri dengan had jemaah menurut yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Annuar berkata Sultan Nazrin menitahkan solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau terhad kepada warganegara Malaysia berusia 12 tahun ke atas dan membenarkan pelaksanaan solat berkenaan di kawasan lapang dan terbuka tidak melebihi 50 orang dengan mematuhi jarak fizikal.

“Baginda tidak membenarkan jamuan diadakan di masjid, surau dan kawasan lapang terbuka selepas solat sunat Aidilfitri. Takbir raya dibolehkan di masjid dan surau tetapi tidak dibenarkan dari rumah ke rumah dan tidak melakukan ziarah kubur,” katanya.

Mohd Annuar berkata Sultan Nazrin turut menzahirkan ingatan agar rakyat memahami tahap keseriusan penularan wabak dan mengambil tanggungjawab membantu memutuskan rangkaian jangkitan serta menunjukkan simpati kepada para petugas barisan hadapan dengan mematuhi prosedur standard operasi ditetapkan.

“Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya kepada seluruh rakyat baginda di samping mendoakan kesejahteraan rakyat serta ketabahan rakyat menghadapi ujian Ilahi ini,” katanya.

- Bernama