Skip to main
Logo Malaysiakini

Bunuh, liwat bayi: Suami pengasuh didakwa

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Petaling Jaya hari ini atas pertuduhan membunuh dan meliwat seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan yang merupakan anak asuhan isterinya di sebuah pangsapuri di sini, tiga minggu lepas.

Mohamed Badruldin Mohamed, 36, mengangguk faham bagi pertuduhan membunuh manakala bagi pertuduhan meliwat, lelaki itu mengaku tidak bersalah.

Kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol.

Bagi pertuduhan pertama, Mohamed Badruldin didakwa membunuh bayi berkenaan di sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat Lembah Subang, di sini, antara 8 pagi dan 3.30 petang, 27 April lepas.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh bagi pertuduhan itu kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pertuduhan kedua pula, dia dituduh melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii ke atas bayi itu di tempat, masa dan tarikh sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377C kanun sama yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah tidak membenarkannya diikat jamin kerana kesalahan bunuh adalah kesalahan yang tidak boleh dijamin dan menetapkan 15 Jun untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Alison Chan May Kam manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kes itu menjadi perhatian ramai selepas pihak polis pada sidang akhbar semalam antaranya berkata bayi berkenaan dipercayai dibunuh dan diliwat suami kepada pengasuh bayi itu di sebuah rumah di sini semasa mangsa dikatakan berada di dalam bilik tidur bersama lelaki berkenaan manakala isterinya (pengasuh) sedang menyapu di luar kediaman mereka.

- Bernama