Skip to main
Logo Malaysiakini

Wanita cuba rentas negeri menyorok dalam bonet kereta ditahan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Tindakan nekad seorang wanita warga Indonesia tanpa dokumen yang tinggal di Nilai, Negeri Sembilan merentas negeri tanpa kebenaran, untuk berjumpa dengan suaminya di Rembia di Alor Gajah dengan menyorok di dalam bonet kereta, berjaya dikesan polis.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Arshad Abu berkata, wanita berusia 23 tahun itu ditahan bersama seorang lelaki yang merupakan pemandu kenderaan ‘e-hailing’ berusia 27 tahun yang beralamat di Seremban, dalam satu kejadian kira-kira pukul 2.30 petang di Plaza Tol Simpang Ampat di Alor Gajah.

“Siasatan awal mendapati wanita berkenaan sebelum itu berada di tempat duduk belakang kenderaan yang ditumpanginya, dan bertindak masuk ke dalam bonet kenderaan itu beberapa meter sebelum sampai ke sekatan jalan raya di plaza tol berkenaan.

“Wanita berkenaan ditemukan di dalam bonet kereta tersebut dalam keadaan berbaring ketika pemeriksaan anggota keselamatan di sekatan jalan raya plaza tol tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di Alor Gajah hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati wanita berkenaan nekad mengambil tindakan sedemikian, selepas setahun tidak bertemu dengan suaminya.

Katanya kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai pengenalan diri yang sah, Seksyen 56(1)(D) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi warga asing tanpa dokumen yang sah, dan Peraturan 15 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

- Bernama