PDRM mohon proses tender kamera badan dipercepat
Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memohon kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mempercepatkan proses tawaran tender perolehan kamera badan bagi kegunaan anggota polis di lapangan.
Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman Datuk Seri Mazlan Lazim berkata pihaknya mendapat maklum balas positif daripada KDN berhubung perkara itu.
“Saya telah membawa perkara ini kepada KDN untuk mempercepatkan proses (tawaran) tender aset berkenaan dan didapati ia berada di atas landasan dan diharap dapat dilaksanakan pada hujung Mei ini atau Jun depan,” katanya kepada pemberita selepas melawat sekatan jalan raya di Plaza Tol Subang di Subang Jaya hari ini.
Beliau berkata ia kemudian akan melalui proses penilaian oleh Jawatankuasa Teknikal sebelum dipilih Lembaga Perolehan Tender di KDN bagi mengeluarkan surat setuju terima kepada syarikat yang terpilih.
Sebelum ini Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bagi melindungi anggota PDRM daripada perbuatan fitnah penjenayah atau orang tidak bertanggungjawab, kerajaan telah meluluskan peruntukan RM30 juta bagi tujuan pembelian kamera badan untuk kegunaan anggota polis.
Muhyiddin berkata ia bagi melindungi anggota PDRM daripada perbuatan fitnah daripada penjenayah ataupun orang yang tidak bertanggungjawab.
Dalam pada itu, Mazlan berkata kelengkapan sekatan jalan raya seperti khemah dan peralatan klinikal bagi tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa semalam hingga 7 Jun mencukupi dalam menjaga kebajikan dan keselesaan anggota bertugas di lapangan.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai