Skip to main
Logo Malaysiakini

PKP Syawal: 'Hanya kad raya pengganti diriku'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Menjelang sambutan hari raya Aidilfitri, tradisi balik kampung dan kunjung mengunjung berjumpa dengan orang yang tersayang adalah satu pengalaman indah yang tidak terungkap lebih-lebih lagi kepada mereka yang hanya sempat bertemu mata dengan keluarga ketika raya menjelma.

Walaupun menyambut hari raya dengan suasana norma baru susulan perintah kawalan pergerakan (PKP), kemudahan internet khususnya menjadi pilihan raya untuk masyarakat saling berhubung dengan ahli keluarga.

Bagaimanapun masih ramai dalam kalangan rakyat Malaysia yang tetap memilih 'bernostalgia' dengan cara tradisi iaitu dengan mengutuskan kad raya sebagai pengganti diri.

Apabila kerajaan melaksanakan PKP dengan larangan aktiviti rentas negeri dan daerah bagi membendung penularan wabak Covid-19, tradisi mengutuskan kad raya kembali menjadi pilihan malar segar dan menggamit suasana sambutan Aidilfitri.

Bagi Munirah Syafika Abd Rahman, 32, yang menetap di Setia Alam, Selangor, dia mengakui sangat sedih apabila tidak dapat pulang beraya ke kampungnya di Ipoh, Perak, dan mengambil keputusan untuk mengirim kad raya kepada keluarga kampung.

Kelainan perayaan tidak mematahkan semangat Munirah untuk terus menjalinkan kasih sayang bersama keluarga dan sahabatnya di kampung dengan mengirimkan kad raya untuk meluahkan rindu kepada insan yang jauh di mata dalam situasi pandemik ini.

“Seperti tahun ini, saya tak balik raya disebabkan PKP, jadi bagi saya, dengan menghantar kad raya ke kampung, ia bukan hanya salah satu cara untuk terus berhubung tetapi juga untuk meluahkan emosi yang tidak terucap.

“Tulisan tangan di kad raya boleh membawa banyak makna dengan menghubungkan rasa rindu walaupun berjauhan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, baru-baru ini.

Munirah yang juga anak sulung daripada tiga adik beradik itu berkata, tradisi tersebut bagaikan satu nostalgia indah dalam mengimbau kembali perasaan teruja ketika berlumba dengan adik beradiknya, siapa yang menerima kiriman kad yang paling banyak.

“Mengimbau zaman sekolah dulu, saya dan adik-adik akan terima beberapa kad raya tiap satu masa, jadi kami selalu berebut tiap kali abang posmen datang, untuk lihat kad raya itu milik siapa seolah-olah kami berlumba siapa dapat kad yang paling banyak.

“Kali pertama menghantar kad raya zaman sekolah, dalam 20 tahun lepas dan pada tahun ini.

"Selain hantar kad raya ke kampung untuk mengirim rindu kerana tidak boleh beraya bersama, saya juga mengirim lebih 700 kad raya ke seluruh Malaysia,” jelasnya.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan aktiviti rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran pihak PDRM di seluruh negara tidak dibenarkan berkuat kuasa dari 10 Mei 2021 hingga 6 Jun 2021.

Sementara itu, bagi Musfirah Hasan, 30, yang tinggal jauh dari keluarganya di Cheras, hasrat untuk balik ke kampung berjumpa keluarga di Segamat, Johor, terpaksa dilupakan susulan pelaksanaan PKP.

Mengenang kesedihan dan kerinduan yang mendalam kepada keluarga yang jauh di mata, dia begitu terkejut dan terharu apabila menerima sekeping kad raya yang diutuskan keluarganya sendiri.

“Saya tak sangka menerima kad raya daripada keluarga di kampung pada minggu lepas sebab tahun ini kita masih tak dapat balik beraya di kampung.

“Apa yang istimewa, kad raya itu dihantar daripada ibu dan ayah serta adik-adik di kampung,” katanya.

Jelasnya lagi, kehadiran kad raya itu menghadirkan emosi dan perasaan rindu yang dalam terhadap insan-insan yang jauh di mana membuatkannya sebak sebaik membaca warkah tersebut.

“Saya seorang yang sentimental, semestinya sedih, gembira dan terharu lebih-lebih lagi kad raya yang diterima dibuat sendiri oleh ahli keluarga menggunakan kertas bersaiz A4 berwarna dan dilukis sendiri oleh ayah.

“Dapat melihat tulisan dan lukisan mak ayah, boleh buat hati menjadi sayu,” katanya.

Tambahnya lagi, budaya mengutus kad raya yang hampir pupus ditelan kemodenan itu sewajarnya dikekalkan kerana ia merupakan nostalgia yang menggamit kenangan.

“Bagi saya, kiriman kad atau surat merupakan sesuatu yang sangat saya hargai dan satu perkara yang perlu diteruskan lebih-lebih lagi di waktu kita tidak dapat bersua.

“Usaha dan dedikasi pengirim untuk menulis sendiri isi hati mereka di dalam bentuk tulisan amat mengharukan dan dihargai,” katanya.