Skip to main
Logo Malaysiakini

Mesej tular dakwa situasi di Hospital di Ipoh membimbangkan tak benar

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Mesej tular mendakwa situasi di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh, berada pada tahap membimbangkan berikutan peningkatan kes Covid-19, adalah tidak benar.

Pengarah HRPB Dr Abdul Malek Osman berkata mesej tersebut adalah palsu, sebaliknya keadaan semasa di hospital itu masih terkawal, malah perkhidmatannya juga berjalan lancar seperti biasa.

“Masyarakat diingatkan agar tidak menularkan sebarang berita atau maklumat yang tidak sahih, agar tidak mencetuskan kebimbangan dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Beliau mengulas mesej tular yang dikongsi menerusi aplikasi WhatsApp yang menyebut HRPB kini mengalami masalah wad untuk menempatkan pesakit positif Covid-19 tahap tiga hingga lima, selain wad bagi pesakit jantung juga telah penuh.

Dr Abdul Malek turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan, dan mengurangkan pergerakan ke tempat-tempat awam semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan bermula semalam sehingga 7 Jun depan.

Selain itu, katanya pemakaian penutup muka dan cecair nyah kuman hendaklah sentiasa diamalkan setiap kali hendak berurusan di tempat awam, bagi mengelakkan penularan wabak berkenaan.

- Bernama