Skip to main
Logo Malaysiakini

Hospital Tuanku Ja'far tukar wad biasa jadi semi-wad ICU

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di Seremban menukar fungsi beberapa buah wad biasa kepada semi-wad Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi menampung peningkatan kes pesakit Covid-19 yang kritikal dan memerlukan mesin bantuan pernafasan di negeri ini.

Exco Kesihatan negeri S.Veerapan berkata langkah itu diambil berikutan katil di wad ICU hospital berkenaan hampir penuh.

Buat masa ini, terdapat dua hospital Covid-19 di Negeri Sembilan iaitu HTJ dan Hospital Tampin.

"HTJ mempunyai 10 katil ICU untuk menempatkan pesakit Covid-19 yang kritikal manakala Hospital Tampin ada empat katil dan di Tampin ini kita akan tambah empat lagi katil ICU,” katanya dalam kenyataan di Seremban hari ini.

Menurutnya, setakat ini kedua-dua hospital berkenaan menggunakan mesin bantuan pernafasan sedia ada dan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan telah memohon mesin tambahan daripada Kementerian Kesihatan.

Veerapan turut memaklumkan Hospital Rembau kini tidak lagi menempatkan pesakit Covid-19, sebaliknya hanya merawat pesakit biasa.

Setakat semalam, sebanyak 100 kes baru Covid-19 dilaporkan di Negeri Sembilan menjadikan kes kumulatif sebanyak 20,248 kes.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.