Skip to main
Logo Malaysiakini

'Rina, timbalan perlu berundur kerana gagal tangani isu jangkitan Covid-19 warga emas'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun dan timbalannya Siti Zailah Mohd Yusoff harus melepaskan jawatan mereka kerana gagal mengurangkan risiko tinggi Covid-19 bagi warga emas di rumah jagaan warga tua, kata Pengarah Komunikasi Wanita PKR, Loh Ker Chean.

"Dengan peranan Menteri dan Timbalan Menteri KPWKM yang seharusnya membela nasib golongan rentan, adakah mereka rasa mereka telah membuat yang terbaik dalam usaha melambatkan jangkitan wabak Covid-19 dalam kalangan warga emas, terutamanya di pusat jagaan warga emas sepanjang setahun dunia ini dilanda pandemik?

"Yang jelas dapat dilihat 'peranan' Rina adalah sewaktu menjadi model majalah. Dan kini menjadi pelakon? Timbalan Menteri KPWKM pula membisu," kata Loh dalam kenyataan media hari ini.

Rina sebelum ini dikritik kerana mengadakan sesi tangkap gambar untuk fesyen baju kurung di pejabatnya.

Rina juga tampil sebagai penghantar makanan FoodPanda untuk iklan Hari Raya awal minggu ini.

Loh berkata, Rina seharusnya meluangkan masa untuk menjawab beberapa pertanyaan mengenai langkah yang telah dilakukan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk mengurangkan penyebaran Covid-19 di kalangan warga emas.

"Adakah Rina memastikan penjaga atau kakitangan di setiap pusat penjagaan warga emas di negara ini dibekalkan PPE asas yang cukup dan digunakan mengikuti panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia(WHO) bertarikh 4 November 2020?

"Adakah Rina telah memohon Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19(JKJAV) mengutamakan institusi penjagaan warga emas dan memberi kemudahan Pasukan Perubatan bergerak ke pusat penjagaan warga emas untuk memberikan suntikan vaksin?

"Adakah Rina telah mengaktifkan Unit Komunikasi Korporat(UKK) dalam kementerian atau memohon kerjasama Jabatan Penerangan Malaysia dan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) yang menjaga komunikasi dua hala bagi menyampaikan kesedaran pendaftaran vaksin kepada warga emas secara strategik?

"Adakah Rina telah memohon JKJAV bagi memastikan pemakluman jadual temujanji vaksin dijalankan melalui panggilan telefon memandangkan kebanyakkan warga emas kurang peka penggunaan SMS dan amalan semak applikasi MySejahtera?" soalnya.

Loh menyorot bahawa Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Ahmad Amzad Hashim telah mengatakan pada bulan Februari bahawa hampir 70 peratus kematian yang berkaitan dengan Covid adalah mereka yang berusia di atas 60 tahun.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah telah mengatakan pada awal bulan Mac bahawa kadar kematian di kalangan warga rumah jagaan warga emas agak tinggi iaitu 1.48 peratus berbanding dengan kadar kematian negara iaitu 0.38 peratus.

Loh juga mengatakan bahawa kemurungan dan kegelisahan boleh meningkat di kalangan warga emas yang tinggal di rumah jagaan warga tua kerana pengasingan dan jarak fizikal jangka panjang.

Selain itu, katanya, terdapat juga kekurangan PPE bagi pengasuh di rumah jagaan warga tua, yang merupakan salah satu sebab utama warga emas terdedah kepada jangkitan, kerana sebilangan penduduk memerlukan banyak perawatan dan pengawasan.

"Adakah angka – angka kes kematian warga emas akibat covid-19 dalam kaca mata Kabinet PN cuma soalan matematik yang tanpa nyawa? Semua pihak telah memberi semua kemudahan termasuk proklamasi darurat yang dituntut oleh Kabinet PN dan mempunyai kuasa mutlak bagi memerangi Pandemik Covid -19 dan memimpin rakyat ke arah pemulihan pasca – pandemik, apakah lagi Kabinet ini mahu daripada rakyat jika mereka sendiri yang gagal?

"Rina dan Siti, sila memohon maaf kepada ahli keluarga kepada mendiang mangsa warga emas Covid-19 dengan segera dan berundur," katanya.