Skip to main
Logo Malaysiakini

Calon anggota penasihat anak muda kepada PM sedang dimuktamad

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pemilihan barisan anak muda untuk menganggotai Kumpulan Penasihat Anak Muda kepada Perdana Menteri sedang dimuktamadkan dan akan diumumkan dalam masa terdekat, kata Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata inisiatif cadangan Majlis Belia Malaysia itu merupakan bukti komitmen kerajaan terhadap penglibatan suara belia dalam hala tuju pembangunan negara.

“Ini adalah inisiatif yang baik supaya suara generasi belia di peringkat akar umbi dapat didengari dan seterusnya menyumbang kepada perancangan dasar kerajaan,” katanya dalam Amanat Hari Belia Negara 2021 yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini.

Muhyiddin berharap melalui platform itu lebih ramai belia dapat terlibat secara langsung dalam merangka strategi pembangunan negara yang menyeluruh.

Bagi mencapai agenda pemerkasaan komuniti, Perdana Menteri berkata fokus turut diberi kepada elemen tanggungjawab sosial dalam pembangunan belia menerusi bidang kesukarelawan.

Misalnya penyertaan belia sebagai Sukarelawan MyVac dan Sukarelawan Rakan Muda Sports Bubble.

Penggemblengan tenaga anak muda ini merupakan usaha sama di antara KBS serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bagi meringankan beban petugas barisan hadapan sepanjang tempoh pandemik dan pemberian vaksin Covid-19 yang sedang dilaksanakan kerajaan.

Hingga 3 Mei lalu, seramai 10,500 orang telah mendaftarkan diri sebagai sukarelawan MyVac manakala 5,360 orang mendaftar sebagai sukarelawan Rakan Muda Sports Bubble.

Daripada jumlah itu, 80 peratus sukarelawan merupakan golongan yang berumur 15 hingga 40 tahun.

“Penyertaan besar golongan belia merupakan bukti sumbangan warga itu untuk membantu masyarakat dan kerajaan dalam usaha menamatkan wabak COVID-19 dan memulihkan semula ekonomi negara.

“Kerajaan menghargai sumbangan belia dalam aspek ini dan peranan yang disumbangkan untuk mencapai hasrat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sebagai aspirasi kita bersama untuk generasi masa depan,” katanya.

Hari Belia Negara disambut pada 15 Mei setiap tahun dan pada tahun ini sambutan tersebut dirai secara sederhana dengan mengekalkan tema sama dengan tahun lalu iaitu “Dekad Ini Dekad Anda”.

- Bernama