Skip to main
Logo Malaysiakini

Nasruddin saran M'sia hantar tentera lindungi Palestin

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Nasrudin Hassan menyarankan Malaysia menghantar tentera bagi melindungi keselamatan Palestin.

"Sekurang-kurangnya untuk menjaga keamanan penduduk dan masyarakat awam Palestin dari serangan tentera Israel.

"Malaysia tidak ketinggalan, layaknya turut menghantar tentera bagi membantu umat Islam di Palestin.

"Sementara rakyat Malaysia terus bekalkan doa dan dana untuk bebaskan bumi Al Quds," katanya pada hantaran di media sosial hari ini.

Nasrudin berkata dia menyokong gesaan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan yang berkata masyarakat antarabangsa perlu mempertimbangkan untuk menghantar pasukan pengaman bagi melindungi rakyat Palestin daripada serangan Israel.

Erdogan pada Rabu lalu dilaporkan berkata terdapat keperluan untuk "masyarakat antarabangsa memberi Israel pengajaran yang tegas."

Presiden Turki itu juga mendesak Majlis Keselamatan PBB segera campur tangan dengan menyampaikan "mesej yang tegas dan jelas" kepada Israel.

Edogan berkata demikian melalui perbualan telefonnya dengan Presiden Rusia Vladimir Putin ketika membincangkan ketegangan di Gaza dan di Jerusalem.

Israel melakukan ratusan serangan udara di Gaza, manakala Hamas dan kumpulan pejuang Palestin yang lain membalas dengan melepaskan roket ke arah Israel.

Sejak pertempuran Isnin lalu, sekurang-kurangnya 148 orang terbunuh di Gaza, menurut pihak berkuasa Palestin, dan Israel telah melaporkan 10 orang maut, termasuk dua kanak-kanak. 

Israel berkata puluhan pejuang Palestin antara yang terkorban di Gaza, manakala pegawai kesihatan Palestin mengatakan jumlah kematian termasuk 41 kanak-kanak.