Langgar SOP: Lagi Adun PAS dikompaun RM2,000
Seorang lagi Exco kerajaan negeri Terengganu dikompaun RM2,000 ekoran melanggar prosedur operasi standard (SOP) Aidilfitri susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri Hanafiah Mat dikompaun selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, 9 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan berkata Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai didapati membuat kunjungan ke beberapa kediaman pada 1 Syawal dan perkara itu tular menerusi media sosial.
“Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati melanggar SOP dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya ada pelanggaran dilakukan," katanya yang dihubungi hari ini.
Sementara itu, menerusi laman sosial Facebook rasmi, Hanafiah berkata beliau reda dengan kompaun yang diberikan dan telah membayarnya.
Hanafiah merupakan Exco kerajaan negeri Terengganu yang kedua dikompaun selepas Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Dr Azman Ibrahim yang juga ADUN Jabi, Besut, dikompaun dengan jumlah sama pada Jumaat.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai