Serangan udara Israel bunuh 33 penduduk Palestin, termasuk 13 kanak-kanak
GLOBAL | Serangan udara pihak Israel membunuh 33 penduduk Palestin, termasuk 13 kanak-kanak, di Gaza pada awal pagi Ahad, menurut pegawai kesihatan Gaza. Pada masa sama, roket terus dilancarkan ke Israel dengan pertembungan masuk hari ketujuh.
Serangan sebelum subuh itu menyasarkan rumah di tengah-tengah bandar Gaza, kata pegawai kesihatan. Seorang jurucakap tentera Israel berkata dia akan meneliti laporan berkenaannya.
Jumlah korban di Gaza meningkat kepada 181 orang, termasuk 52 kanak-kanak, sejak tercetusnya pertembungan pada Isnin lalu. Di Israel, seramai 10 orang, termasuk dua kanak-kanak, terbunuh akibat serangan roket daripada Hamas dan kumpulan lain.
Dengan tiadanya tanda pertembungan antara Palestin dan Israel - terburuk sejak beberapa tahun kebelakangan - akan tamat, Majlis Keselamatan PBB dijangka mengadakan pertemuan bagi membincangkan situasi itu.
Israel dan Hamas berkata mereka akan meneruskan serangan, selepas Israel memusnahkan bangunan 12 tingkat di Gaza pada Sabtu lalu. Bangunan itu antara lain menempatkan pejabat agensi media Al Jazeera dan Associated Press.
Tentera Israel mengatakan bangunan al-Jala tersebut adalah sasaran yang sah kerana menempatkan pejabat Hamas dan pihaknya telah memberi amaran awal kepada orang awam untuk mengosongkan bangunan.
AP mengecam serangan itu dan mendesak Israel untuk mengemukakan bukti.
"Kami tiada sebarang petunjuk yang Hamas ada atau aktif di bangunan ini," katanya dalam kenyataan.
Menurut tentera Israel, Hamas telah melancarkan 120 roket dalam masa satu malam, dalam apa yang disifatkan organisasi Palestin itu sebagai tindak balas atas kemusnahan bangunan al-Jala.
Bagaimanapun banyak roket yang dipintas dan kira-kira 12 roket tidak melepasi sempadan Gaza, katanya.
Penduduk Israel pula bergegas ke pusat perlindungan selepas diren amaran roket dibunyikan di Tel Aviv dan bandar Beersheba. Kira-kira 10 orang cedera ketika menuju ke pusat perlindungan itu, menurut pegawai perubatan.
Dalam serangan udara pada awal Ahad tersebut, tentera Israel berkata pihaknya berjaya menyerang rumah Yehya Al-Sinwar yang terletak di Khan Younis, di selatan Gaza. Sinwar merupakan ketua sayap politik dan tentera Hamas di Gaza, selepas dibebaskan daripada penjara Israel pada 2011.
Warga Palestin yang membersihkan kesan runtuhan sebuah bangunan yang dimusnahkan dalam serangan itu telah menemukan sejumlah mangsa yang terkorban.
"Ini adalah detik ketakutan yang tak boleh dijelaskan sesiapa pun. Seolah-olah kawasan ini ditimpa gempa bumi," kata Mahmoud Hmaid, bapa kepada tujuh orang anak yang membantu misi menyelamat.
Di bandar Ashkelon di Israel pula, pakar perubatan Zvi Daphna membangkitkan perasaan "takut dan cemas" apabila kawasan kejiranannya diserang sejumlah roket.
Kabinet keselamatan Israel turut dijangka bertemu bagi membincangkan situasi yang berlaku.
Dalam satu ucapan yang disiarkan di televisyen pada Sabtu, perdana menteri Benjamin Netanyahu berkata Israel "masih di tengah-tengah operasi, ia masih belum tamat dan akan diteruskan selagi ia wajar".
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai