Skip to main
Logo Malaysiakini

Contohi kaedah Selangor tangani penularan Covid-19, kata MP PH

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sembilan ahli parlimen di Wilayah Persekutuan berkata ketika lebih 300 kes baru Covid-19 dikesan selama tiga hari berturut-turut di negeri itu sepatutnya cukup untuk membuka mata menteri berkaitan untuk bertindak lebih agresif menangani wabak tersebut.

Kata mereka pendekatan baru yang lebih berkesan wajar diambil untuk mengekang penularan berkenaan.

Justeru mereka mencadangkan Kementerian Wilayah Persekutuan mencontohi kerajaan Selangor dengan mengadakan ujian saringan secara percuma kepada orang ramai.

Langkah diambil Selangor pada 8 hingga 11 Mei lalu itu, kata mereka, membolehkan kerajaan mengesan hampir 80 peratus individu berusia di antara 20 hingga 40 tahun yang didapati positif Covid-19 tetapi tidak menunjukkan sebarang simptom.

"Kami ahli parlimen Pakatan Harapan sedia membantu Kementerian Wilayah Persekutuan untuk membuat hebahan mengenai program saringan komuniti bersasar itu kepada penduduk dalam kawasan masing-masing supaya kita sama-sama dapat mengawal penularan wabak Covid-19 dan seterusnya mengurangkan jumlah kes," kata mereka dalam kenyataan bersama hari ini.

Ia ditandatangani Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai, Fong Kui Lun (Bukit Bintang), Teresa Kok (Seputeh), Tan Yee Kew (Wangsa Maju), Fahmi Fadzil (Lembah Pantai), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), P Prabakaran (Batu), Lim Lip Eng (Kepong) dan Hannah Yeoh (Segambut).

Menurut mereka lagi pelaksanaan program ujian saringan percuma itu akan dapat mengenal pasti individu yang mungkin menjadi pembawa senyap (silent carriers) virus Covid-19, iaitu pesakit yang tidak mempunyai sebarang simptom namun berisiko menjangkiti orang lain.

"Bagi memastikan kejayaan program ini Kementerian Wilayah Persekutuan perlu bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan yang mempunyai bidang kuasa untuk membolehkan keupayaan dan fasiliti makmal hospital melakukan ujian makmal dipertingkatkan segera.

"Ini penting untuk mengenal pasti varian baru secara lebih berkesan dan lebih cekap serta menghasilkan keputusan dengan lebih pantas," kata mereka.

Dengan peningkatan kes positif baru dan kematian yang semakin tinggi setiap hari, tambah ahli parlimen PH itu lagi, beberapa faktor lain perlu diambil kira sebelum program sebegitu dilaksanakan.

Misalnya jumlah kakitangan dan sukarelawan perubatan, penyediaan peralatan yang mencukupi, capaian internet serta lokasi yang sesuai.