MP Kangar: Tabung #Aid4Palestine perlu diselaras, audit
Anggota Parlimen Kangar Noor Amin Ahmad mencadangkan supaya kerajaan menyelaraskan serta mengaudit dana sumbangan #Aid4Palestine yang diusahakan oleh Duta Khas ke Timur Tengah Abdul Hadi Awang.
Dia berkata demikian susulan timbul isu kutipan yang didakwa tidak sampai kepada pihak sewajarnya di Palestin.
“Beberapa tahun kebelakangan ini timbul dakwaan tentang kos pengurusan dan juga kutipan yang tidak sampai kepada pihak berwajib di Palestin.
“Ini sudah tentu boleh mewujudkan satu tanggapan yang salah kepada usaha murni ini.
“Pembentukan kempen sumbangan Aid4Palestin oleh duta khas bertaraf menteri di Timur Tengah mesti diselaraskan sebagaimana Tabung Khas Covid-19. Ia membolehkan akaun ini diaudit,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.
Tambahnya, kutipan terbuka yang dibuat oleh parti politik, bertujuan untuk menyumbang dana di negara itu juga sewajarnya dilarang.
Pertempuran terbaru antara pihak Palestin dan Israel tercetus selepas polis Israel melancarkan serangan di kawasan Masjlid al-Aqsa di Baitul Maqdis.
Israel melakukan ratusan serangan udara di Gaza, manakala Hamas dan kumpulan pejuang Palestin yang lain membalas dengan melepaskan roket ke arah Israel.
Sejak semalam, dilaporkan sekurang-kurangnya 139 telah meninggal dunia di Gaza, termasuk 39 kanak-kanak. Israel pula melaporkan 10 kematian.
Dengan perkembangan ini, PAS dengan kerjasama kira-kira 40 NGO melancarkan tabung #Aid4Palestine dengan matlamat meraih RM1 juta untuk Palestin.
Penubuhan tabung dan sekretariat diumumkan oleh Presiden PAS Abdul Hadi. Ahli Jawatankuasa Pusat PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi - yang juga anak kepada Hadi - dilantik sebagai pengerusi.
Setiausaha PAS Takiyuddin Hassan juga mengeluarkan arahan agar semua peringkat parti menggerakkan kempen meraih dana yang akan disalurkan ke "Tabung Kemanusiaan PAS Relief" di bawah seliaan parti itu.
Sementara itu, Noor Amin menambah, penyelarasan bantuan itu akan turut membendung manipulasi tidak wajar yang dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Peranan kerajaan ini akan menjelaskan lagi sikap kita dalam isu di Palestin dan sekaligus dapat membendung manipulasi tidak wajar melalui kempen sokongan terhadap Palestine,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai