Skip to main
Logo Malaysiakini

PH: Tingkatkan saringan dan vaksinasi atau negara terus dibelenggu PKP

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Malaysia mungkin terpaksa terus bergantung kepada siri perintah kawalan pergerakan (PKP) berpanjangan jika masalah yang dihadapi dalam proses pengesanan dan vaksinasi tidak diatasi.

Menurut Jawatankuasa Vaksinasi Covid-19 Pakatan Harapan, pelaksanaan PKP yang berterusan itu bukan saja tidak mampu menyelesaikan masalah penularan wabak malah memberi kesan yang buruk kepada ekonomi dan kehidupan rakyat.

Menjelaskan hal itu melalui kenyataan media hari ini, jawatankuasa berkenaan berkata berdasarkan data di antara 10 Mei hingga 15 Mei lalu, kadar positif Covid-19 bagi penduduk negara ini ialah 6.83 peratus.

Kadar itu kata jawatankuasa berkenaan masih lebih tinggi berbanding saranan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Keadaan itu kata jawatankuasa berkenaan jelas menunjukkan bahawa kerajaan tidak melakukan ujian saringan yang mencukupi sekali gus memberi bayangan bahawa jumlah kes harian sebenar mungkin tidak menggambarkan keadaan sebenar di negara ini.

"Sekiranya kita tidak dapat mengatasi masalah dengan tepat, kita mungkin hanya boleh bergantung pada strategi PKP yang bukan sahaja tidak menyelesaikan masalah tetapi mempunyai beban yang besar terhadap ekonomi dan kehidupan rakyat," kata kenyataan tersebut.

Untuk rekod Jawatankuasa Vaksinasi Covid-19 PH dipengerusikan bekas menteri kesihatan Dzulkefly Ahmad dan dianggotai Dr Lee Boon Chye (ahli parlimen Gopeng) Dr Kelvin Yii (Bandar Kuching), Dr Mohd Hatta Ramli (Lumut), Sim Tze Tzin (Bayan Baru), Ong Kian Ming (Bangi), Dr Siti Mariah Mahmud (Exco Kesihatan Selangor), Dr Norlela Ariffin (Exco Kesihatan Pulau Pinang) dan Veerapan Supramaniam (Exco Kesihatan Negeri Sembilan).

Kata jawatankuasa berkenaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid19 (JKJAV) mesti mengambil langkah perlu untuk meningkatkan kadar ujian saringan Covid-19.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan, kata mereka, terdapat penurunan mendadak dalam ujian saringan di seluruh negara pada hari pertama Aidilfitri (13 Mei) iaitu 83,974 berbanding 87,458 pada hari sebelumnya.

Pada 14 Mei pula jumlah saringan yang dibuat ialah sebanyak 56,440 diikuti 47,480 pada 15 Mei.

"Kadar positif pada 13 Mei pula ialah 5.78 peratus dan meningkat kepada 7.32 peratus dan 8.72 peratus masing-masing pada 14 dan 15 Mei sekali gus melepasi had cadangan WHO iaitu pada kadar 5 peratus," katanya.

Menurut jawatankausa berkenaan hanya dengan meningkatkan kadar saringan dan pengesahan kontak rapat secara ketara, barulah negara boleh mengenal pasti berapa orang yang berjangkit dan dapat menyebarkan virus sebelum mengambil langkah tertentu untuk mengasingkan.

"Perlaksanaan ini penting terutamanya dengan 89 peratus kes Covid-19 yang dilaporkan dari 9 April hingga 8 Mei adalah sporadik.

"Hampir sembilan daripada 10 kes Covid-19 di Malaysia pada bulan lalu tidak berkaitan, yang bermaksud bahawa virus itu ada di mana-mana sahaja dalam komuniti dan satu-satunya cara untuk mengesannya adalah dari saringan secara besar-besaran, pengesanan kontak cepat, dan pengasingan kemudian memberikan sokongan yang diperlukan," katanya.