Skip to main
Logo Malaysiakini

Benarkan semua kerajaan negeri peroleh vaksin - Kit Siang

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Memandangkan kerajaan Sarawak dibenarkan menguruskan perolehan vaksin Covid-19 sendiri, pemimpin DAP veteran Lim Kit Siang menggesa kerajaan Persekutuan membenarkan semua kerajaan negeri melakukan hal yang sama.

"Semalam, kerajaan negeri Sarawak mengumumkan yang mereka akan menerima 500,000 dos vaksin Sinovac dalam masa seminggu lagi dan mereka telah memperoleh tambahan sebanyak 500,000 dos lagi.

"Memandangkan Sarawak dibenarkan untuk mendapatkan vaksin Covid-19 mereka sendiri, kerajaan persekutuan perlu menghentikan monopolinya terhadap pemerolehan vaksin dan semua kerajaan negeri perlu dibenarkan untuk mendapatkan vaksin Covid-19 untuk diedarkan secara percuma kepada rakyat supaya kita dapat melengkapkan proses vaksinasi ini secepat mungkin dan mencapai imuniti kelompok,"kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli parlimen Iskandar Puteri itu berkata negara kini berada dalam perlumbaan melawan masa dan sehubungan itu Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) perlu dipercepatkan.

"Salah satu strategi utama kita dalam perang melawan wabak Covid-19 adalah untuk mempercepatkan usaha vaksinasi kebangsaan yang buat masa ini bergerak dengan perlahan, terutamanya dengan kemunculan pelbagai variasi baharu Covid-19 yang memaksa kita untuk bertindak dengan lebih pantas.

"Wabak koronavirus ini adalah satu perkara yang sentiasa bergerak.

"Perkara ini perlu diambil kira oleh Menteri Koordinasi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, untuk memastikan program ini dipercepatkan," kata Lim.

Semalam, Menteri Muda Kesihatan Awam dan Perumahan Sarawak Dr Annuar Rapaee Sarawak bakal menerima 500,000 dos vaksin Sinovac yang dibeli melalui inisiatif kerajaan negeri dalam tempoh seminggu.

Namun Annuar tidak menyatakan jumlah kos yang ditanggung kerajaan negeri untuk membiayai pembelian vaksin tersebu

Sebanyak 36 lagi kematian direkodkan akibat Covid-19 semalam menjadikan angka kematian kini meningkat kepada 1,902 orang, dengan 41,889 kes aktif.

Kematian terbaru dicatatkan di Selangor (8), Pulau Pinang (6), Sarawak (5), Kedah (5), Kuala Lumpur (4), Perak (3), Negeri Sembilan (2), Terengganu (2), dan Pahang (1).