Skip to main
Logo Malaysiakini

Rina mesti segera bantu warga emas dapatkan vaksin, kata Kasthuri

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat digesa bertindak segera susulan wujud dakwaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) mengabaikan warga emas di pusat jagaan orang tua.

Anggota Parlimen Batu Kawan Kashthuri Patto berkata setakat ini terdapat tiga fasiliti di Pulau Pinang ditutup ekoran Covid-19 dan risiko penularan wabak.

Sekiranya kementerian tidak masuk campur, kata Kasthuri, Malaysia akan mungkin berdepan nasib seperti Itali, Sepanyol dan India yang kini merekodkan kematian tinggi dalam kalangan warga emas di pusat jagaan.

“Rina Harun dan Siti Zailah Mohd Yusoff sebagai menteri serta timbalan menteri di kementerian terbesar dalam negara, mereka mesti memberi perhatian serius terhadap penutupan pusat jagaan warga emas di Pulau Pinang.

"Mereka juga perlu menyediakan pelan pemberian vaksin untuk warga emas dan pengendali pusat penjagaan kerana mereka adalah golongan paling rentan dalam masyarakat.

“Kita mesti berikrar untuk melakukan yang terbaik dan menggunakan sumber ada untuk bergerak ke hadapan tanpa mengabaikan mana-mana pihak dalam program vaksinasi.

“Rakyat Malaysia wajar tahu proses vaksinasi bagi warga emas di pusat jagaan,” katanya.

Kasthuri menambah, usaha untuk mevaksin warga emas tidak seharusnya terletak di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sahaja kerana pusat jagaan warga emas terletak di bawah kementerian Rina.

Sebelum ini sebuah gabungan pengendali pusat jagaan warga emas menggesa kerajaan agar lebih bersimpati kepada mereka serta menyifatkan KKM gagal mengelola program vaksinasi untuk golongan tersebut.

Kasthuri mengulas demikian dengan merujuk kenyataan Pengerusi Persatuan Pengendali Jagaan Berkediaman Warga Emas Malaysia, Muntoh Fong, yang menyatakan bahawa golongan orang tua tidak diberi keutamaan dalam program vaksinasi.

“Kami juga sering mendapat mesej daripada kerajaan supaya pusat jagaan mendaftarkan warga emas. Kami telah melakukannya namun selepas itu, tiada apa yang berlaku,” jelasnya.

PICK kini berada di fasa kedua, yang mengutamakan warga emas untuk mendapatkan vaksin Covid-19.

Bagaimanapun, kerajaan telah membuka peluang kepada mereka yang bukan warga emas dan sukarela untuk menerima vaksin AstraZenecca bermula bulan ini.

[Baca berita asal]