Skip to main
Logo Malaysiakini

Maeps janji perbaiki pusat kuarantin

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengakui kekurangannya dalam menguruskan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps).

JKNS berkata pertambahan mendadak pesakit menjadikan Maeps beroperasi melangkau kapasitinya.

Pun begitu, JKNS berkata pihaknya sedang menambahbaik penempatan pesakit Covid-19 di Maeps daripada beberapa aspek yang ditekankan baru-baru ini.

Ia bertujuan bagi meningkatkan keselesaan pesakit yang dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Maeps.

“Peningkatan kes Covid-19 terkini juga menyaksikan pertambahan kes-kes kategori 3 yang mendadak di mana pada awalnya PKRC Bersepadu Maeps hanya menyediakan 60 buah katil bagi kategori tersebut dan kini menempatkan sebanyak 752 buah katil serta akan ditambah kapasitinya menjadi 1,000 buah katil dalam waktu terdekat.

“Peningkatan ini sudah tentunya meningkatkan cabaran kepada para petugas dalam memastikan penyampaian perkhidmatan yang sebaik mungkin kepada para pesakit,” menurut kenyataan JKNS hari ini.

Ia berikutan artikel yang menceritakan tentang keluhan penghuni di Maeps 2.0 yang menempatkan pesakit Covid-19.

Semalam portal Free Malaysia Today melaporkan pesakit di Maeps perlu menunggu sehingga enam jam untuk mendapatkan katil dan menggigil kesejukan akibat suhu penghawa dingin serta perlu menunggu berjam-jam untuk makanan dan penggunaan kemudahan di situ.

Mereka juga menekankan tiada jarak fizikal diamalkan di pusat tersebut.

Pada masa sama, salah seorang bekas pesakit memberitahu Malaysiakini bahawa pusat kuarantin itu tidak diuruskan dengan baik.

JKNS menjelaskan susulan daripada peningkatan pesakit yang mendadak di negeri itu, Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) Sungai Buloh yang pada awalnya menempatkan pesakit warga emas yang berumur melebihi 70 tahun dan kanak-kanak berusia bawah 2 tahun, terpaksa ditempatkan di PKRC Bersepadu Maeps 2.0.

Untuk rekod, pada masa ini purata jumlah kemasukan pesakit adalah sekitar 600 sehari dengan jumlah pesakit harian pernah mencecah sehingga 1,800 orang.

Isu kebersihan, makanan

Pada masa sama, JKNS berkata kerja pembersihan tandas dilakukan sebanyak empat kali sehari secara berkala.

Pun begitu, kata JKNS pihaknya terpaksa berdepan dengan penggunaan yang tinggi serta cabaran dengan sikap pesakit yang menggunakan kemudahan yang disediakan, seperti tidak menjaga kebersihan tandas dan membuang sampah merata-rata sehingga menyebabkan tandas tersumbat.

Mengenai aspek penyediaan makanan, JKNS berkata PKRC Bersepadu Maeps 2.0 berdepan dengan cabaran yang hebat apabila perlu menyediakan jumlah makanan dalam skala besar sehari, di samping memastikan tiada pembaziran berlaku.

“Ini sudah tentunya memberikan cabaran kepada petugas dalam memesan makanan yang mencukupi bagi pesakit sedia ada dan yang baru masuk dengan jumlah yang besar.

“Walau bagaimanapun, pihak PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 sentiasa mencuba pendekatan baharu sebagai contoh dengan menyediakan ‘food truck’ secara percuma sehingga jam 10.00 malam bagi menampung jumlah kemasukan pesakit baru walaupun mengambil sedikit masa bagi menyediakannya.

“Selepas jam 10 malam, makanan bagi kemasukan pesakit baharu ditampung dengan penyediaan dry ration yang terdiri daripada sebantal roti gardenia, kaya, biskut, air mineral dan air kotak bagi setiap pesakit,” katanya.

Agihan makanan seleai 2 jam

Menurutnya, keutamaan akan diberikan kepada pesakit warga emas dan kanak-kanak serta mereka yang mempunyai diet terapeutik tertentu.

Bagaimanapun, pengagihan makanan kepada semua pesakit akan diselesaikan dalam tempoh dua jam.

JKNS turut menjelaskan bahawa isu penjarakan fizikal dalam pusat kuarantin seperti yang dibangkitkan tidak menjadi masalah kerana semua pesakit yang terlibat telah disahkan positif Covid-19.

“Berkenaan isu yang dibangkitkan mengenai suhu di dewan terutama yang menempatkan warganegara wanita dan kanak-kanak, siling dewan tersebut tidak setinggi dewan terbuka biasa yang lain.

“Perkara ini telah cuba diatasi dengan menetapkan suhu piawaian 22-24C dan membuat pemantauan berterusan.

“Dengan itu, diharap penggunaan selimut yang tinggi dan penggunaan cadar katil bagi menutup di sekeliling katil mereka dapat dielakkan,” katanya.