Skip to main
Logo Malaysiakini

DAP mohon tangguh kongres kebangsaan, konvensyen negeri

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

DAP semalam memohon kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) bagi mendapatkan kebenaran menangguhkan sementara kongres tahunan mereka yang sepatutnya diadakan bulan depan.

Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan Anthony Loke berkata permohonan itu dibuat dengan mengambil kira ancaman wabak Covid-19 yang sangat tinggi sekarang serta pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0

"Ibu Pejabat DAP menghantar surat rasmi kepada Menteri Dalam Negeri dan Ketua Pengarah ROS pada 17 Mei untuk memohon agar tarikh kongres kebangsaan dan konvensyen biasa DAP Sarawak, Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan, Perlis dan Selangor ditunda," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kongres tahunan kebangsaan itu sepatutnya diadakan pada 20 Jun ini dan notis mengenainya sudah diedarkan kepada semua cawangan DAP di seluruh negara.

Setakat ini konvensyen biasa di peringkat negeri sudah dilaksanakan di Perak, Kedah, Pulau Pinang, Terengganu, Pahang, Kelantan, Negeri Sembilan, Melaka, Wilayah Persekutuan dan Johor.

Loke berkata pelaksanaan PKP 3.0 sehingga 7 Jun dan ada kemungkinan ia dilanjutkan lagi menyebabkan kongres kebangsaan sukar untuk diadakan pada tarikh yang ditetapkan.

"Untuk konvensyen biasa peringkat negeri yang sepatutnya berlangsung dalam tempoh beberapa minggu ini, semuanya terpaksa ditunda kerana larangan mengadakan mesyuarat dan perhimpunan seperti diputuskan Majlis Keselamatan Negara," katanya.

Menurut Loke dalam keadaan begitu DAP memohon Menteri Dalam Negeri dan ROS membenarkan kongres kebangsaan dan konvensyen biasa negeri yang tertangguh diadakan pada tarikh lain iaitu selepas PKP dilonggarkan dan pergerakan rentas negeri dibenarkan.

"Maklumat lanjut berkenaan penundaan tarikh-tarikh ini akan diumumkan sejurus selepas Ibu Pejabat DAP Kebangsaan menerima maklum balas daripada ROS," katanya.