Isu kematian Ganapathy: Polis ambil keterangan wartawan Mkini
Polis hari ini memanggil dua wartawan Malaysiakini bagi memberi keterangan berhubung tiga artikel yang diterbitkan portal berita itu.
Ketiga-tiga artikel berkenaan berkaitan A Ganapathy, 40, yang meninggal dunia ketika dirawat di hospital selepas ditahan polis pada Feb lalu.
Subeditor Malaysiakini, Rusnizam Mahat dan Aedi Asri Abdullah tiba di ibu pejabat polis Bukit Aman, Kuala Lumpur pada jam 11 pagi bersama-sama peguam Kee Hui Yee dari firma guaman Kanesalingam & Co.
Wartawan Malaysiakini B Nantha Kumar juga dipanggil bagi membantu siasatan tetapi tidak dapat hadir kerana sedang menjalani kuarantin Covid-19.
Keterangan diambil oleh Inspektor Shahrir Mohamad dan Inspektor Mohd Nasir Abu Hasan dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman selama kira-kira sejam.
Difahamkan kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan ketakutan kepada orang awam.
Ketiga-tiga artikel berkenaan bertajuk "Peguam: Bedah siasat tunjuk Ganapathy mati akibat cedera teruk di kaki, bahu", "MIC tuntut siasatan bebas berhubung kematian Ganapathy" dan "Mangsa didakwa dipukul polis mati lepas lebih sebulan di ICU".
Malaysiakini juga difahamkan laporan polis dibuat oleh seorang pegawai penyiasat yang mengendalikan siasatan kes kematian Ganapathy.
Pada 11 Mac lalu, ibu kepada mendiang, S Thanaletchumy, 60, membuat laporan di ibu pejabat polis daerah (IPD) Gombak berhubung dakwaan anaknya dipukul ketika dalam tahanan.
Menurut laporan itu yang dilihat Malaysiakini, Thanaletchumy berkata anaknya ditahan pada 24 Februari bagi membantu siasatan terhadap seorang lagi anaknya yang dikehendaki polis.
Dia mendakwa dihubungi seorang anggota polis pada 8 Mac yang memaklumkan anaknya telah dibebaskan dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang.
Ganapathy meninggal dunia di hospital itu pada 18 April.
Pada 30 April lalu, Ketua Polis Daerah Gombak Arifai Tarawe dalam sidang media berkata siasatan awal mendapati Ganapathy tidak pernah membuat aduan dipukul oleh pihak polis, sama ada kepada Majistret atau pegawai perubatan yang merawatnya.
Bagaimanapun, Arifai berkata siasatan masih berjalan dan kertas siasatan akan dihantar ke pejabat timbalan pendakwa raya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai