Skip to main
Logo Malaysiakini

'Jenaka rogol' bukan kes terpencil, Awam kaji 275 kes buli, gangguan seksual di sekolah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Satu kajian oleh All Women’s Action Society (Awam) yang dilakukan dalam tempoh 10 hari bulan lalu mencatatkan 275 testimoni yang berkaitan dengan dakwaan gangguan seksual dan kejadian buli di sekolah.

Awam dalam satu kenyataan hari ini mengatakan bahawa angka itu dan analisis seterusnya menunjukkan bahawa isu "jenaka rogol" yang sebelum ini diketengahkan oleh pelajar Tingkatan 5 Ain Husniza Saiful Nizam hanyalah satu daripada banyak lagi kejadian seumpamanya dalam budaya gangguan seksual yang sistematik.

Meskipun menyokong pendirian kementerian untuk memindahkan sementara waktu guru yang didakwa dalam kes Ain ke Jabatan Pendidikan Selangor, Awam mengatakan lebih banyak yang perlu dilakukan untuk mengatasi masalah itu yang berlaku secara meluas.

"Analisis kami menghasilkan penemuan berikut: 125 kes melibatkan pemeriksaan haid, 108 penindasan dan 88 gangguan seksual.

"Banyak mangsa yang mengalami lebih daripada satu bentuk pelanggaran," kata kumpulan hak wanita itu.

Wanita merupakan majoriti besar atau 91.6 peratus yang menjadi mangsa sementara lelaki mewakili baki 6.2 peratus.

Awam mengatakan kisah yang mereka analisis kebanyakannya yang dikongsi influencer di media sosial, sementara enam kes lain menghubungi mereka secara langsung.

Dari jumlah tersebut, 108 orang mangsa menyatakan usia mereka ketika mereka diganggu / dibuli secara seksual, di mana 99 daripadanya berusia di bawah 18 tahun pada masa kejadian tersebut.

"Subkumpulan umur 13 hingga 15 tahun, ketika pelajar (terutama gadis) mengalami perubahan akil baligh, didapati merupakan tahap gangguan seksual dan buli paling banyak berlaku di kalangan mangsa," kata Awam.

Mereka kemudian mengenal pasti sekolah rendah, menengah dan sekolah berasrama sebagai lokasi utama gangguan seksual dan buli, masing-masing mempunyai 51, 58 dan 55 kes.

"Pelanggaran juga berlaku di kolej, pusat jagaan kanak-kanak dan kem sekolah, walaupun jumlahnya lebih sedikit," tambah Awam.

Berdasarkan cerita tersebut, Awam berkata, mangsa mengenal pasti individu pelaku sebagai orang yang berpengaruh ketika itu.

Daripada 311 pelaku, 247 daripadanya adalah guru, ustazah, ustaz dan warden.

"Walaupun ada pelaku pelajar seperti pengawas dan pelajar senior, terutama dalam kes pemeriksaan haid, pelanggaran ini dilakukan dalam konteks amalan yang dinormalisasikan secara terbuka oleh guru, ustazah dan ustaz," kata Awam.

Ia juga menyatakan bahawa walaupun jumlahnya lebih sedikit, terdapat juga kes kes gangguan seksual dan buli melibatkan mangsa lelaki.

"Kes buli termasuk dimalukan di tempat awam, ditampar dan ditumbuk, serta buli perkauman.

"Pelanggaran pelecehan seksual termasuk mencubit puting, meraba-raba bahagian peribadi dan ditelanjangkan oleh pihak berpengaruh untuk memeriksa tanda-tanda baligh," kata Awam.

Dengan masalah yang dikenal pasti, Awam mengatakan ada beberapa penyelesaian jangka panjang yang dapat dicapai oleh Kementerian Pendidikan, bermula dengan pelaksanaan latihan kepekaan jantina di kalangan pihak berkuasa sekolah untuk menanamkan kesedaran asas mengenai peranan jantina, kuasa, batas fizikal, persetujuan dan keganasan berdasarkan jantina.

Awam juga menggesa kementerian menjalin hubungan kerja dengan Lembaga Kaunselor Malaysia untuk memberikan sokongan yang diperlukan kepada guru kaunselor di sekolah.