Skip to main
Logo Malaysiakini

Covid-19: 17 masjid, surau di Perak ditutup

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sejumlah 17 masjid dan surau di Perak ditutup sementara berikutan penularan kes Covid-19 di dalam komuniti, menurut Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Datuk Mohd Yusop Husin.

Beliau berkata penutupan sementara itu dibuat bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembersihan dan proses sanitasi kawasan masjid serta pejabat yang terlibat.

“Sehingga hari ini, sebanyak 17 masjid dan surau termasuk 12 daripadanya di Ipoh telah diarahkan tutup sementara waktu. Selain itu, Pejabat Bahagian Halal JAIPk di Jalan Labrooy, Ipoh juga ditutup sementara waktu.

"Pembukaan semula semua masjid, surau dan pejabat yang terlibat akan dimaklumkan kemudian selepas selesai kerja-kerja pembersihan dan proses sanitasi,” katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas mengenai mesej aplikasi WhatsApp berkaitan penutupan beberapa masjid dan pejabat agensi agama yang tular hari ini.

Dalam pada itu, Facebook Jabatan Mufti Negeri Perak pada Isnin pula memaklumkan penutupan pejabat institusi itu bermula hari ini hingga 20 Mei dan sepanjang tempoh itu sebarang urusan akan dilaksanakan secara dalam talian.

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dalam satu kenyataan di Facebook juga mengumumkan penutupan sementara operasi semua kaunter MAIPk bermula semalam hingga 21 Mei di Kompleks Islam Darul Ridzuan, kaunter di Pusat Tranformasi Bandar (UTC) dan Pejabat Pentadbiran MAIPk Daerah di seluruh Perak untuk tujuan sanitasi.

- Bernama