Skip to main
Logo Malaysiakini

Peringatan 'lambat': MP gesa tindakan susulan pada ibu hamil terima vaksin AstraZeneca

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bekas timbalan menteri pembangunan wanita keluarga dan masyarakat, Hannah Yeoh menggesa beberapa tindakan susulan melibatkan ibu hamil yang menerima vaksin Covid-19 selain Pfizer-Biontech (Pfizer).

Ia berikutan penjelasan "terlewat" oleh Jawatankuasa Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) bahawa ibu hamil dan sedang menyusu disarankan mengambil vaksin Pfizer sahaja, berdasarkan syor pakar.

Menurut Yeoh, penjelasan itu yang diberikan hanya selepas ada ibu hamil menerima vaksin jenis lain.

"Walaupun saya mengalu-alukan penjelasan ini memandangkan ketakutan dan kebimbangan mengenai vaksinasi Covid-19 yang dikongsi oleh para ibu yang hamil dan yang sedang menyusu, pengumuman tersebut agak terlewat dan telah menimbulkan keresahan di kalangan para ibu yang telah pun menerima vaksin AstraZeneca.

"Program sukarela AstraZeneca bermula pada 5 Mei 2021, iaitu hampir 2 minggu sebelum pengumuman ini dibuat oleh menteri Khairy. Kesan sampingan kepada 'ibu AZ (AstraZeneca)' dan bayi mereka masih belum dapat dilihat dan ini tidak boleh dipandang ringan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru itu, dia menggesa kerajaan bersedia menggunakan Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin Covid-19 jika terdapat sebarang kesan sampingan kepada mereka.

"Perkara ini juga harus terpakai kepada ibu yang hamil atau yang sedang menyusu dan telah menerima vaksinasi Sinovac sebelum pengumuman oleh menteri," katanya.

Untuk rekod, kerajaan memeruntukkan RM10 juta bagi bantuan khas itu, untuk mereka yang mengalami kesan sampingan serius akibat vaksin Covid-19.

Saranan berkenaan pengambilan vaksin untuk ibu yang hamil dan mengandung itu dibuat Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin dua hari lalu.

Warga yang beratur untuk menerima vaksin AstraZeneca

Khairy berkata, golongan itu tidak disarankan untuk menerima vaksin Sinovac dan AstraZeneca kerana data keberkesanan dan kesan sampingan membabitkan dua vaksin itu kepada kumpulan terbabit belum mencukupi.

Sehubungan itu, katanya, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) sudah diarah untuk mengatur dan menyelaras dengan hospital serta pusat pakar perubatan ibu dan kanak-kanak untuk mengutamakan pengagihan vaksin Pfizer kepada ibu mengandung.

Dalam pada itu, Yeoh juga menggesa kerajaan membuat tindakan susulan daripada aspek perubatan mengenai suntikan dos kedua terhadap ibu hamil dan menyusu yang telah pun menerima vaksin AstraZeneca sebelum ini.

Dia juga menggesa kerajaan menyediakan arahan yang jelas di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berkenaan perkara itu.

"Modus operandi pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional (PN) 'buat dulu, rancang kemudian' mesti dihentikan.

"Mereka tidak boleh membuat pengumuman vaksinasi seperti mana cara mereka mengumumkan SOP yang flip-flop sebelum ini," katanya lagi.

Setakat ini, belum jelas jika ibu yang hamil atau menyusu, yang telah menerima dos pertama vaksin AstraZeneca, akan tetap menerima vaksin itu untuk dos kedua.

Lazimnya penerima akan menerima kedua-dua dos daripada vaksin jenis sama.

Namun kajian mutakhir menunjukkan gabungan dos pertama AstraZeneca dan dos kedua Pfizer tetap berkesan, bagaimanapun tidak banyak data berkenaannya melibatkan ibu yang hamil.