Skip to main
Logo Malaysiakini

Ada 'Little Napoleon' mahu atur pelantikan KP Jakoa - Ramli

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor mendakwa terdapat gerakan 'little Napoleon' dalam Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang mahu mengatur pelantikan ketua pengarah baru Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Dia mendakwa gerakan itu berusaha mencatur pelantikan tersebut memandangkan jawatan ketua pengarah Jakoa ketika ini kosong setelah penyandangnya Prof Dr Juli Edo menamatkan kontrak pada  April lalu.

"Saya sebagai wakil rakyat tunggal berketurunan Orang Asli Semenanjung Malaysia di Parlimen Malaysia yang dilantik oleh suara rakyat selepas 64 tahun Malaysia merdeka mengutuk dan menentang sama sekali usaha dan gerakan 'little napoleon' birokrasi kerajaan di dalam Kementerian Pembangunan Luar Bandar ini.

"Saya menyarankan mereka ini agar lebih menumpukan kepada tugas hakiki mereka sebagai pegawai kerajaan iaitu melaksanakan dan memantau semua dasar kerajaan agar sampai objektifnya bagi kesejahteraan masyarakat Orang Asli sebagaimana termaktub di dalam perkara 8 (5) c Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan bukan bermain politik," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Di bawah Perlembagaan Persekutuan, terma Orang Asli khusus untuk masyarakat asal di Semenanjung Malaysia sahaja.

Jakoa sebagai sebuah jabatan juga hanya beroperasi di Semenanjung serta tidak meliputi Sabah dan Sarawak.

Ramli juga mengingatkan pegawai kerajaan bahawa isi kandungan perkara 8(5)c Perlembagaan Persekutuan Malaysia menetapkan kuota dalam perkhidmatan awam Malaysia wajib diberi kepada masyarakat Orang Asli Malaysia yang berkelayakan termasuklah jawatan ketua pengarah Jakoa.

Tambah Ramli, kerajaan Perikatan Nasional (PN) harus bersikap adil dan saksama di dalam pelantikan jawatan ketua pengarah Jakoa bahkan juga perihatin terutama dalam menyelesaikan isu-isu pembangunan masyarakat Orang Asli.

"Isu-isu teras seperti pembangunan sosio ekonomi, pendidikan, kesihatan, pengwartaan tanah Orang Asli/Tmtanah adat dan kebajikan am untuk masyarakat Orang Asli masih lagi ketinggalan jauh berbanding masyarakat majmuk Malaysia.

"Dengan ini, saya juga menyarankan supaya agensi perlaksanaan Jakoa diperkukuhkan dari segi penstrukturan organisasi agar penyampaian perkhidmatan dapat dilaksanakan dengan sempurna tanpa berlaku ketirisan dan pembaziran peruntukan kewangan rakyat," katanya.