Media perlu laporkan kes Ganapathy, kata Amnesty International
Amnesty International Malaysia mengecam tindakan pihak polis menyiasat media yang melaporkan kematian A Ganapathy, seorang tahanan polis yang meninggal dunia ketika dirawat di hospital pada April lalu.
Kenyataan itu dibuat sehari selepas Malaysiakini melaporkan pihak polis mengambil keterangan daripada dua wartawannya berhubung tiga artikel mengenai kematian Ganapathy.
“Keluarga Ganapathy berhak tahu apa yang terjadi. Mereka perlu dapatkan keadilan.
“Siasatan perlulah dilakukan secara terbuka dan telus. Tetapi jika polis adalah dalang yang didakwa (terhadap insiden tersebut), siapakah yang menyiasat pihak polis?
“Media harus dibolehkan melaporkan perkara ini. Orang ramai mempunyai hak untuk tahu,” kata kumpulan hak asasi itu di Twitter hari ini.
Semalam, Subeditor Malaysiakini, Rusnizam Mahat dan Aedi Asri Abdullah memberi keterangan selama kira-kira sejam di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Mereka disiasat berhubung tiga artikel berkaitan A Ganapathy, 40, yang meninggal dunia ketika dirawat di hospital selepas ditahan polis pada Feb lalu.
Seorang lagi wartawan Malaysiakini B Nantha Kumar juga dipanggil bagi membantu siasatan tetapi tidak dapat hadir kerana sedang menjalani kuarantin Covid-19.
Difahamkan kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan ketakutan kepada orang awam.
Malaysiakini juga difahamkan laporan polis dibuat oleh seorang pegawai penyiasat yang mengendalikan siasatan kes kematian Ganapathy.
Pada 11 Mac lalu, ibu kepada mendiang, S Thanaletchumy, 60, membuat laporan di ibu pejabat polis daerah (IPD) Gombak berhubung dakwaan anaknya dipukul ketika dalam tahanan.
Menurut laporan itu yang dilihat Malaysiakini, Thanaletchumy berkata anaknya ditahan pada 24 Februari bagi membantu siasatan terhadap seorang lagi anaknya yang dikehendaki polis.
Dia mendakwa dihubungi seorang anggota polis pada 8 Mac yang memaklumkan anaknya telah dibebaskan dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang.
Ganapathy meninggal dunia di hospital itu pada 18 April.
Pada 30 April lalu, Ketua Polis Daerah Gombak Arifai Tarawe dalam sidang media berkata siasatan awal mendapati Ganapathy tidak pernah membuat aduan dipukul oleh pihak polis, sama ada kepada Majistret atau pegawai perubatan yang merawatnya.
Bagaimanapun, Arifai berkata siasatan masih berjalan dan kertas siasatan akan dihantar ke pejabat timbalan pendakwa raya.
Sementara itu, Human Rights Watch turut mengkritik siasatan jenayah yang melibatkan wartawan, aktivis yang melakukan demonstrasi dan mereka yang mengkritik kerajaan.
Badan bukan kerajaan itu berkata di bawah kerajaan sedia ada, kebebasan bersuara semakin terancam apabila banyak pihak berdepan soal siasat oleh pihak polis berkenaan tugasan atau kenyataan mereka.
"Dalam amalan demokrasi yang menghormati hak kebebasan bersuara, kerajaan tidak memandang kewartawanan sebagai satu perkata yang jahat dan menerima kritikan dan satira sebagai kebebasan bersuara," kata penasihat undang-undang Human Rights Watch di Asia, Linda Lakhdhir.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai