Skip to main
Logo Malaysiakini

Menteri nafi wujud gerakan atur pelantikan KP Jakoa

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Abd Latiff Ahmad menafikan wujud gerakan untuk melantik ketua pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) bukan dari kalangan masyarakat Orang Asli.

Abd Latiff yang menjawab dakwaan Ahli Parlimen Cameron Highland, Ramli Mohd Nor, berkata Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sedang meneliti calon-calon bagi mengisi jawatan berkenaan.

"KPLB menafikan dakwaan mengenai gerakan tersebut dan ingin menjelaskan bahawa kementerian sedang mengenal pasti calon-calon yang bersesuaian untuk mengisi kekosongan jawatan ketua pengarah Jakoa yang ketika ini masih kosong.

"Oleh yang demikian, isu penjawat awam melantik pengganti ketua pengarah adalah tidak benar kerana setakat ini proses perbincangan dan penelitian masih berjalan.

"Pencalonan ketua pengarah Jakoa dijalankan mengikut prosedur yang ditetapkan di bawah kuasa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, seperti yang termaktub dalam Seksyen 5, Akta 134, Akta Orang Asli 1954," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Ramli mendakwa terdapat gerakan 'little Napoleon' dalam KPLB yang mahu mengatur pelantikan ketua pengarah baru Jakoa.

Dia mendakwa gerakan itu berusaha mencatur pelantikan tersebut memandangkan jawatan ketua pengarah Jakoa ketika ini kosong setelah penyandangnya Prof Dr Juli Edo menamatkan kontrak pada April lalu.

"Saya sebagai wakil rakyat tunggal berketurunan Orang Asli Semenanjung Malaysia di Parlimen Malaysia yang dilantik oleh suara rakyat selepas 64 tahun Malaysia merdeka mengutuk dan menentang sama sekali usaha dan gerakan 'little napoleon' birokrasi kerajaan di dalam KPLB ini.

"Saya menyarankan mereka ini agar lebih menumpukan kepada tugas hakiki mereka sebagai pegawai kerajaan iaitu melaksanakan dan memantau semua dasar kerajaan agar sampai objektifnya bagi kesejahteraan masyarakat Orang Asli sebagaimana termaktub di dalam perkara 8 (5) c Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan bukan bermain politik," katanya Ramli dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu Abd Latiff berkata, masyarakat Orang Asli sentiasa menjadi pilihan utama KPLB untuk dicalonkan sebagai ketua pengarah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan Perkara 8 (5)(C).

"Pemilihan calon ini tidak dibuat secara rawak tetapi berdasarkan kepakaran termasuk pengalaman yang luas dan mahir dalam aspek pentadbiran jabatan, pengurusan kewangan, pengurusan projek pembangunan dan sosio-ekonomi serta mempunyai jaringan kerjasama yang erat di antara jabatan di peringkat Persekutuan Negeri mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

'Di kesempatan ini, KPLB turut menyatakan ucapan terima kasih kepada semua agensi kerajaan, NGO serta Individu yang prihatin dengan masyarakat Orang Asli," katanya.