Skip to main
Logo Malaysiakini

Majikan mohon dana Penjana kini perlu kemuka SD

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Syarikat atau majikan diminta mengemukakan akuan bersumpah (SD) bagi permohonan dana Program Insentif Pengambilan Pekerja di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan.

Beliau berkata syarat tambahan bagi permohonan dana kelolaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu dibuat bagi memastikan tiada ruang untuk pihak ketiga mengambil kesempatan, menipu dan menyalahgunakan dana.

"Dengan syarat tambahan ini, majikan perlu mengeluarkan SD menyatakan jumlah pekerja mereka, maka mereka akan diambil tindakan yang lebih tegas berdasarkan undang-undang jika memalsukan SD," katanya dalam sidang media secara maya di sini hari ini.

Saravanan berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana majikan yang membuat tuntutan palsu melibatkan dana PENJANA dan memaklumkan hingga semalam, Perkeso telah menerima 1,758 kes aduan melibatkan bayaran meragukan dan isu bayaran gaji pekerja.

Beliau berkata daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,231 kes aduan didapati tidak berasas, 340 kes disyaki tuntutan palsu dan salah guna manakala baki 187 kes pula masih dalam siasatan untuk tindakan selanjutnya.

Selain itu, beliau berkata Perkeso akan meminta majikan memulangkan semula semua wang yang telah dibayar kepada majikan itu sekiranya terdapat sebarang unsur pemalsuan.

Beliau berkata Perkeso juga telah menerima RM85.1 juta melibatkan lebih 8,000 majikan yang gagal memenuhi syarat ditetapkan di bawah Program Subsidi Upah dan telah membuat bayaran balik kepada Perkeso.

Sementara itu, Saravanan berkata Perkeso telah mengesan satu video minggu lepas, mendakwa kewujudan sindiket melibatkan sebuah syarikat yang dituduh menggunakan data pekerja untuk mendapatkan insentif PenjanaKerjaya 2.0.

Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati terdapat majikan tidak bertanggungjawab dan cuba membuat permohonan palsu Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Program Latihan di bawah Program PenjanaKerjaya 2.0.

“Rekod Perkeso mendapati caruman pekerja telah dibayar oleh majikan. Bagaimanapun, ini merupakan satu taktik yang diguna pakai bagi mematuhi syarat kelayakan dalam permohonan program ini.

“Pihak majikan juga didapati telah membuat penipuan dokumen setelah borang pengesahan diterima oleh pegawai Perkeso dengan 36 pekerja menandatangani dan mengesahkan bahawa mereka masih bekerja di syarikat terbabit,” katanya.

Beliau berkata kes ini kini dalam siasatan unit khas antipenipuan (Anti-Fraud), Cawangan Etika dan Pematuhan Perkeso serta akan dirujuk kepada agensi penguat kuasa sama ada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekiranya perlu.

Video tersebut juga memaparkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabai D. Kamache dan beliau telah dinasihatkan membuat laporan polis dengan kadar segera untuk siasatan lanjut.

Saravanan mengingatkan semua pencari kerja agar tidak berkongsi sebarang maklumat peribadi melalui medium WhatsApp atau media sosial, majikan pula perlu membuat permohonan insentif melalui Sistem PenjanaKerjaya menerusi laman sesawang penjanakerjaya.perkeso.gov.my secara terus dan tidak melalui mana-mana ejen.

Sebarang aduan atau pertanyaan boleh dikemukakan menerusi e-mel [email protected] atau talian khidmat pelanggan Perkeso 1-300-22-8000 atau 03 80915300.

- Bernama