Skip to main
Logo Malaysiakini

Selangor tak tolak PKP total, tapi mesti dilakukan dengan empati - MB

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata negeri itu tidak menolak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh sebaliknya hanya berpandangan ia haruslah berlaku dengan empati iaitu memikirkan kesan terhadap rakyat di negeri terbabit.

Kata Amirudin kerajaan negeri faham keutamaan sekarang ialah menjaga nyawa rakyat perlu diutamakan dan Selangor pula mencatatkan kes baru jangkitan Covid-19 tertinggi hampir setiap hari.

Pun begitu katanya kerajaan persekutuan wajar mempertimbangkan inisiatif seperti moratorium, prosedur operasi piawai (SOP) yang lebih jelas, saringan besar-besaran dan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang lebih cekap semasa memutuskan langkah PKP penuh.

"Pelaksanaan lockdown (perintah berkurung) adalah bidang kuasa MKN (Majlis Keselamatan Negara). Selangor tidak menentang atau menghalang pelaksanaan lockdown oleh kerajaan persekutuan.

"Nyawa rakyat Malaysia khususnya Selangor menjadi keutamaan.

"Namun harus ada sifat empati dan memikirkan kesan terhadap kehidupan, kehilangan pendapatan termasuk kesan kepada kesihatan mental," katanya melalui Twitter.

Amirudin juga menjelaskan memang menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mencapai keseimbangan di antara langkah tegas dan keperluan semasa orangr amai.

Pendirian itu turut disuarakan Amirudin dalam sidang medianya di Shah Alam hari ini.

Katanya kurang tepat mendakwa Selangor menolak PKP penuh kerana kerajaan negeri perlu meneliti banyak aspek termasuk keperluan rakyat yang perlu bersedia berdepan dengan kesan seperti PKP 1.0 pada Mac tahun lalu.

"Lockdown adalah tindakan sementara tapi jika ia sangat diperlukan, ia perlu difikirkan secara menyeluruh dan komprehensif," katanya pada sidang media tersebut.

Menurut Amirudin, isu sama ada PKP penuh akan dilaksanakan atau tidak masih di peringkat perbincangan dan tertakluk dalam bidang kuasa kerajaan persekutuan.

Katanya kerajaan Selangor hanya dipanggil untuk memberikan pandangan.

Terdahulu, dalam satu sidang media oleh Pengerusi Selangor Task Force Covid-19, Dr Dzulkefly Ahmad, dia berkata cadangan PKP secara menyeluruh itu perlu dipertimbangkan secara teliti kerana ia bakal memberi kesan dan tekanan terhadap banyak pihak di negeri itu.