Skip to main
Logo Malaysiakini

Lim soal kemampuan k'jaan ganti semula dana Kwan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng menyoal kemampuan kerajaan menggantikan semula dana Kumpulan Wang Amanah Negara (Kwan) setelah mengambil RM5 bilion untuk program vaksinasi Covid-19.

"Jaminan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz bahawa Kerajaan PN komited untuk mengganti semula tabung Kumpulan Wang Amanah Negara (Kwan) apabila krisis Covid-19 berakhir dan kewangan kerajaan pulih, tidak bermakna ketika kerajaan tidak mungkin memiliki kapasiti dan keupayaan untuk melakukannya dalam masa terdekat.

"Oleh kerana Malaysia tidak boleh meminjam untuk mengganti semula dana dalam Kwan, kerana pinjaman kerajaan hanya untuk membiayai projek-projek pembangunan.

"Ini bermakna penggantian semua tersebut harus dari hasil kutipan kerajaan," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Pun begitu, Lim berkata berdasarkan hasil kutipan cukai yang menurun selama dua tahun berturut-turut maka menjadi amat sukar untuk menggantikan semula dana Kwan.

Pada tahun 2019, hasil kutipan cukai berjumlah RM264.4 bilion menurun kepada RM227.3 bilion pada 2020 dan RM237 bilion pada 2021.

"Malangnya, RM5 bilion yang diperuntukkan dari tabung KWAN masih belum memenuhi objektifnya untuk mempercepat proses vaksinasi dengan kadar vaksinasi yang perlahan dan rendah.

"Malaysia adalah negara Asia Pasifik terburuk dari segi jangkitan Covid-19 per kapita dan kes jangkitan harian kita sekarang lebih tinggi daripada Indonesia," kata Lim yang juga setiausaha agung DAP itu.

"Amaran terhadap kegagalan Malaysia dalam pengurusan krisis Covid-19 tidak dibantu oleh kadar vaksinasi yang rendah sebanyak 2.3 peratus untuk dua dos, yang bahkan lebih rendah daripada kadar vaksinasi Indonesia untuk dua dos pada 4.2 peratus dari jumlah penduduknya yang lebih besar.

"Kementerian Kewangan lambat bertindak bagi menyediakan dana dari pinjaman untuk membeli vaksin Covid-19 lebih awal, yang mengakibatkan peruntukan RM5 bilion dari tabung Kwan baru-baru ini gagal memenuhi objektifnya untuk mempercepat proses vaksinasi," jelas MP Bagan.

Memandangkan parlimen digantung, Lim berkata orang ramai tidak mendapat jawapan mengenai bagaimana RM60 bilion dibelanjakan untuk memerangi Covid-19.

Lim merujuk lima pakej rangsangan berjumlah RM55 bilion dan RM5 bilion daripada dana Kwan, tabungan simpanan yang dikumpulkan daripada hasil sumber semula jadi negara, khususnya petroleum.

Awal hari ini, Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata kerajaan komited untuk menggantikan semula dana Kwan apabila krisis wabak Covid-19 berakhir dan kewangan negara pulih.

"Yakinlah bahawa kerajaan selalu berusaha untuk melakukan yang terbaik untuk rakyat. Kwan diatur oleh lima anggota lembaga pemegang amanaj yang membuat semua keputusan dasar sebelum menyerahkannya kepada kerajaan.

"Lembaga pemegang amanah itu termasuk wakil kerajaan dan swasta/ profesional. Kwan juga diaudit setiap tahun oleh Jabatan Audit Negara.

"Oleh itu, elemen semak dan imbang tetap terjamin walaupun terdapat pindaan khusus dan terhad terhadap penggunaan Kwan," katanya, lapor New Straits Times hari ini.

Menteri itu berkata banyak negara juga memanfaatkan wang simpanan atau tabung amanah mereka untuk mengatasi krisis Covid-19.