Skip to main
Logo Malaysiakini

Dipenjara 2 tahun kerana ugut bunuh bapa

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Tindakan seorang lelaki membuat ugutan mahu membunuh bapa kandungnya membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini.

Majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh, Tuan Mohamad Hafiz Tuan Haris, 24, mengaku bersalah terhadap pertuduhan membuat ugutan bunuh terhadap bapanya di Kampung Tempoyak Kadok, Kota Bharu, pada Mac lalu.

Tertuduh yang juga seorang pemandu lori kelihatan sebak dan mengalirkan air mata sebaik pengakuan bersalah dibuat.

Mengikut kertas pertuduhan, dia melakukan ugutan jenayah dengan menakutkan bapanya, Tuan Haris Tuan Kub, 58, untuk membunuh mangsa dalam kejadian jam 11 di lokasi tersebut pada 27 Mac lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut seksyen sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin dan tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ariyani Mohd Amin.

Terdahulu, Sharifah Amirda memohon hukuman setimpal dikenakan supaya menjadi pengajaran kepada masyarakat, manakala Ariyani memohon hukuman minimum dikenakan atas dasar tertuduh sudah insaf.

Sementara itu mengikut fakta kes, tertuduh bergaduh dengan bapanya di luar rumah selepas bapanya itu menasihati agar lebih berhati-hati dalam memilih kawan selain kerap meminta wang RM100 sehari daripadanya.

Tertuduh kemudian mengamuk dan memecahkan barangan di dalam rumah serta mengeluarkan ugutan dengan menyatakan akan membunuhnya.

Bapa tertuduh yang takut dengan ugutan itu kemudian membuat laporan polis.