MKN bincang cadangan PKP penuh esok - Takiyuddin
Keputusan sama ada kerajaan persekutuan akan melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh (lockdown) dijangka akan dibincangkan esok.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Takiyuddin Hassan berkata, perdana menteri akan mempengerusikan sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) Covid-19 di Putrajaya.
"Itu antara langkah-langkah yang perlu difikirkan oleh pihak MKN, pilihan-pilihan yang kita ada. Sebelum ini kita laksanakan PKP, PKPB, PKPP dan sebagainya. Itulah langkah-langkah yang perlu diambil sama ada secara keseluruhan atau bersasar.
"Ia mungkin akan diputuskan esok ada sidang MKN, ia mungkin akan dibincangkan di sana yang melibatkan perdana menteri dan semua menteri besar serta ketua menteri.
"Akan dibincangkan (esok) untuk diputuskan," katanya pada sidang media ketika hadir sama ke mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri Kelantan yang dipengerusikan Menteri Besar Ahmad Yakob di Kompleks Kota Darulnaim Kota Bharu, hari ini.
Takiyuddin berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan akan melaksanakan PKP penuh.
Terdahulu, pelbagai pihak, antaranya bekas perdana menteri Najib Razak, mendesak kerajaan supaya melaksanakan PKP penuh.
Ia susulan kadar penularan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan termasuk kes tertinggi direkodkan, semalam.
Sementara itu Takiyuddin yang juga anggota Parlimen Kota Bharu berkata, kerajaan ini memberi fokus sepenuhnya terhadap usaha menangani Covid-19.
"Perkara-perkara yang kurang penting kita tangguhkan dahulu, fokus kita buat masa ini adalah kepada pandemik Covid-19," jelasnya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai