Skip to main
Logo Malaysiakini

Covid-19: Noor Hisham kongsi video Siti Hasmah, seru berdoa esok

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menyeru seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa atau agama, untuk turut serta dalam kempen berdoa berhubung situasi Covid-19 yang akan dianjurkan tengah hari esok.

Seruan itu disampaikannya di Twitter, dengan turut mengepil video yang memaparkan isteri bekas perdana menteri, Dr Siti Hasmah Mohamad Ali mempromosikan kempen berkenaan.

"Rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama di mana juga anda berada bersama luangkan masa berdoa semoga segala urusan dalam membendung pandemik Covid-19 di permudahkan," ciapnya di Twitter.

Dalam video berdurasi 79 saat itu Siti Hasmah menyeru rakyat Malaysia meluangkan masa berdoa, antara jam 12 tengah hari hingga 1 petang esok, agar urusan menangani Covid-19 dimudahkan.

"Hospital semakin penuh dan sesak. Bilik mayat juga tidak lagi mampu menampung kematian yang begitu ramai.

"Oleh itu saya menyeru rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa, pada hari Jumaat 21 Mei 2021 antara jam 12 tengah hari dan 1 petang, di mana juga anda berada sama ada di rumah ataupun di pejabat.

"Marilah kita luangkan masa berdoa kepada tuhan supaya kita dilindungi, dan Malaysia bebas daripada penyakit Covid-19.

"Terima kasih kerana mengambil bahagian di mana juga anda berada dan semoga tuhan memberkati usaha kecil kita ini. #malaysiaberdoa," kata Siti Hasmah dalam video berkenaan.

 

Setelah mencatatkan penurunan dalam bulan Feb dan Mac, kes mula mencatatkan peningkatan sejak April. Terbaru, semalam (19 Mei), kes harian mencatatkan 6,075 kes baru dengan 46 kematian.

Sebagai petanda keadaan yang kian memburuk, Hospital Sungai Buloh baru-baru ini memaklumkan pihaknya perlu menyediakan kontena sebagai tambahan tempat penyimpanan jenazah susulan peningkatan pesakit yang meninggal dunia akibat Covid-19.

PKP terbaru berkuat kuasa dari 12 Mei hingga hingga 7 Jun 2021.

Bagaimanapun penularan Covid-19 dilihat kian memburuk sehingga menimbulkan spekulasi kerajaan mungkin melaksanakan PKP penuh.