Skip to main
Logo Malaysiakini

MB, KM negeri PH diundang ke mesyuarat MKN esok

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari memberitahu pihaknya telah menerima makluman menteri besar dan ketua menteri negeri-negeri Pakatan Harapan akan diundang semula hadir ke mesyuarat Majlis Keselatanan Negara (MKN) yang dijadualkan esok.

"Terima kasih atas undangan semula ini, saya komited hadir untuk ketengahkan pandangan demi kepentingan rakyat Negeri Selangor," katanya pada ciapan di Twitter malam ini.

Terdahulu Amirudin pada ciapannya memberitahu mesyuarat MKN esok tidak akan melibatkan menteri besar dan ketua menteri PH seperti sebelum ini.

Sebelum ini, menteri besar Selangor, Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow tidak dijemput hadir mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai Covid-19.

Mesyuarat MKN kebiasaannya dipengerusikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Semalam, menteri besar Selangor berkata negeri itu tidak menolak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh sebaliknya hanya berpandangan ia haruslah berlaku dengan empati iaitu memikirkan kesan terhadap rakyat di negeri terbabit.

Kata Amirudin, kerajaan negeri faham keutamaan sekarang ialah menjaga nyawa rakyat perlu diutamakan dan Selangor pula mencatatkan kes baru jangkitan Covid-19 tertinggi hampir setiap hari.

Pun begitu katanya kerajaan persekutuan wajar mempertimbangkan inisiatif seperti moratorium, prosedur operasi piawai (SOP) yang lebih jelas, saringan besar-besaran dan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang lebih cekap semasa memutuskan langkah PKP penuh.

Hari ini, hari kedua berturut-turut jumlah kes baru mencatatkan rekod tertinggi dan melepasi paras 6,000.

Sebanyak 6,806 jangkitan baru Covid-19 yang dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan 492,302 kes.

Jumlah kematian yang dicatatkan hari ini, seramai 59 orang juga merupakan yang tertinggi pernah direkodkan.