Skip to main
Logo Malaysiakini

Suhakam: Lepaskan gadis Rohingya diperdagangkan sebagai pengantin kanak-kanak

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pesuruhjaya Kanak-kanak Suhakam Profesor Noor Aziah Mohd Awal mendedahkan dia bertemu dengan seorang gadis Rohingya yang diperdagangkan ke Malaysia sebagai pengantin kanak-kanak.

Katanya, ini berlaku ketika lawatannya ke ke depot tahanan imigresen di Langkawi Ogos lalu.

Noor Aziah percaya selepas sembilan bulan kemudian gadis itu masih di tahan di sana.

Pada sidang media dalam talian hari ini, Aziah berkata rayuannya kepada Kementerian Dalam Negeri untuk pembebasan mereka setakat ini tidak berjawab.

"Saya telah menulis surat kepada menteri (Hamzah Zainudin) dan kementerian serta meminta sesuatu dilakukan. Saya sebenarnya mencadangkan supaya Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Mapo) menelitinya.

"Kerana ini mengenai permerdagangan manusia. Kerana (kanak-kanak perempuan) ini harus diselamatkan dan diletakkan di tempat yang selamat.

"...tetapi kami tidak mendapat maklum balas daripada kementerian," katanya.

Aziah mahupun pegawai Suhakam tidak melakukan kunjungan kedua ke depot tersebut tetapi Aziah mengesyaki kanak-kanak perempuan itu masih ditahan.

"Saya tidak pasti tetapi saya rasa mereka masih ada di Langkawi," katanya.

Mengulas lanjut, dia berkata telah mewawancarai kanak-kanak perempuan Rohingya yang berusia antara 13 hingga 16 tahun ketika berada di depot "sesak" itu, yang terletak di Kem Bina Negara Wawasan di Ulu Melaka, Langkawi.

Mereka ditangkap pada bulan Jun 2020 ketika polis marin memintas sebuah bot pelarian yang menceroboh perairan Malaysia.

Daripada 269 yang berada di dalam bot itu, terdapat 138 wanita dewasa, 80 lelaki dewasa, 26 kanak-kanak lelaki, 23 kanak-kanak perempuan dan seorang wanita yang telah meninggal dunia.

"Ramai anak gadis muda yang datang tanpa pendamping, mereka ke mari untuk berkahwin. Itu, bagi saya, pemerdagangan dan juga perkahwinan kanak-kanak,” katanya.

Tak boleh hantar pulang

Malaysiakini telah menghubungi Kementerian Dalam Negeri untuk maklumat lebih lanjut.

Menurut perangkaan rasmi, terdapat 1,340 pelarian Rohingya di depot tahanan imigresen pada bulan Julai 2020.

Data Suhakam turut menganggarkan terdapat lima pelarian Palestin di depot tahanan tersebut pada April 2020, kata Pesuruhjayanya Jerald Joseph.

"Anda tidak boleh menghantar mereka pulang. 

"Mereka perlu dibenarkan bergerak di dalam masyarakat bukan sebagai orang bebas tetapi dengan pengakuan bahawa mereka (memiliki) kad UNHCR dan pemastautin sementara di negara ini.

"Kami tidak pasti mengapa kami menyimpannya di sini (depot imigresen), beberapa (telah ditahan) selama bertahun-tahun, ketika tidak ada kemungkinan untuk mengusir mereka," katanya.

[Baca berita penuh]