Skip to main
Logo Malaysiakini

Suku Mah Meri enggan beri laluan pada projek k'jaan Selangor

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Suku Mah Meri dari Kampung Orang Asli Bagan Lalang mengambil keputusan untuk mengabaikan notis pengosongan yang diberikan kepada mereka dan akan tetap tinggal di kawasan itu buat masa ini.

Seramai 20 keluarga sepatutnya meninggalkan kampung yang terletak di Sepang itu semalam (20 Mei), bagi memberikan ruang kepada satu projek pelancongan kerajaan negeri Selangor

Berdasarkan laporan The Malaysian Insight, penduduk kampung itu mengambil keputusan sedemikian selepas pertemuan tiga jam bersama pengerusi jawatankuasa Majlis Peguam mengenai hak Orang Asli, Siti Kasim.

Salah seorang penduduk, Khairul Asmar, berkata mereka sebelum ini tidak sedar akan hak-hak mereka.

“Semasa kami diberi notis pengusiran, kami bersetuju untuk pergi kerana kami tak tahu banyak.

“Kami tak tahu tentang hak tanah kami atau kami boleh buat tuntutan atas tanah ini sebab kami telah berada di sini selama beratus-ratus tahun,” dia dipetik sebagai berkata.

Tambahnya, kebanyakan penduduk kampung itu merupakan nelayan yang bergantung kepada hasil laut sebagai punca rezeki.

“Kami sedar beberapa pihak mungkin tidak akan senang jika kami tuntut tanah ini sebagai tanah adat kami.

“Mah Meri pada umumnya tidak bersifat konfrontasi. Kami masih mempertimbangkan semua pilihan kami sebelum buat keputusan,” katanya lagi kepada portal berkenaan.

Tanah nenek moyang

Menurut Siti, suku Mah Meri tetap mempunyai hak ke atas kawasan itu meskipun tidak memiliki hak milik tanah. Mereka mendakwa telah tinggal di situ sejak 20 tahun lalu.

Tanah itu dimiliki oleh Permodalan Negeri Selangor Bhd (PNSB) dan Majlis Perbandaran Sepang.

“Hak mereka bukan bermula ketika rumah pertama dibangunkan 20 tahun lalu, tetapi mereka ada hak ke atas tanah ini daripada penggunaan dan penguasaan tanah secara terus-menerus.

“Menurut penduduk kampung, mereka mencari rezeki di tanah ini lebih 500 tahun, ini adalah tanah nenek moyang mereka.

“Sama halnya dengan puak-puak suku yang tinggal di hutan dan bagaimana mereka boleh menuntut bahagian mereka. Ini kerana mereka mendiami dan mencari rezeki di sana,” kata peguam itu lagi.

Tambahnya, kerajaan negeri Selangor sepatutnya berunding terlebih dahulu dengan Orang Asli sebelum memutuskan untuk mengusir mereka.

“Malaysia adalah penandatangan Deklarasi PBB tentang Hak-hak Masyarakat Orang Asli 2007 (UNDRIP) dan berdasarkan itu, mereka berhak mendapat persetujuan bebas, adil dan diberitahu sebelum kerajaan memutuskan untuk mengusir mereka bagi tujuan pembangunan.”

“Mereka meminta nasihat kami dan itulah sebabnya kami ada di sini. Akhirnya bergantung kepada mereka sama ada untuk terus tinggal di sini atau tidak,” katanya.

Pada 14 Mei, PNSB memberitahu bahawa penduduk kampung sebelum ini tidak membantah notis pengosongan itu tetapi berkata mereka terbuka untuk membincangkan permintaan Orang Asli Mah Meri supaya diberikan lebih banyak masa sebelum diusir dari tanah berkenaan.

Portal The Vibes sebelum ini melaporkan bahawa Adun Sungai Pelek Ronnie Liu, menggesa PNSB untuk menangguhkan pengosongan berkenaan.

Baik PNSB mahupun Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, kedua-duanya menegaskan bahawa kawasan itu bukanlah kampung asal suku berkenaan.

Sebaliknya kata Amirudin, kawasan itu merupakan pos sementara untuk memudahkan mereka berulang-alik dari kampung asal mereka ke tempat kerja di Bagan Lalang.

PNSB berkata ia telah menjalankan libat urus bersama komuniti itu sebanyak dua kali sebelum notis pengosongan dikeluarkan pada 20 April.

Keputusan kerajaan Selangor meminta Orang Asli mengosongkan kampung berkenaan bagi memberi ruang kepada projek destinasi pelancongan, menerima kritikan banyak pihak.

Satu petisyen dalam talian bagi mempertahankan suku Mah Meri telah meraih lebih 13,000 tandatangan.