Skip to main
Logo Malaysiakini

Dr M saran henti jual minyak pada Israel, Hadi tegur perpecahan umat Islam

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkongsi pentas bagi menyatakan sokongan terhadap Palestin yang berdepan konflik dengan Israel.

Mahathir, dalam forum bersama Hadi di sebuah stesen TV malam tadi, mencadangkan negara-negara Islam yang kaya dengan minyak menekan Israel dengan tidak menyalurkan komoditi itu kepada mereka.

"Kalau kita tak beri minyak, mereka tak boleh buat apa-apa.

“Ini boleh kita lakukan secara halus sehingga mereka tak dapat buat apa-apa kepada kita,” katanya dalam Dialog Tiga Penjuru: Di Sebalik Senyuman Hamza di Astro awani malam tadi.

Selain Mahathir dan Hadi, felo Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford Datuk Dr Afifi Al-Akiti turut mengambil bahagian sebagai ahli panel.

Sementara itu, Hadi menegur sikap umat Islam yang menurutnya masih berpecah belah.

“Dan mungkin musuh-musuh kita menggunakan kejahilan kita sendiri untuk menimbulkan masalah.

“Kekacauan di negeri sendiri hanya akan mengundang perang proksi, musuh datang negeri kita. Bukannya kita lawan musuh utama, tapi lawan sama sendiri.

“Dia boleh berniaga senjata pula,” katanya duta khas perdana menteri ke Timur Tengah.

Selepas konflik 11 hari yang mengorbankan hampir 250 orang, Israel dan kumpulan bersenjata Palestin Hamas semalam bersetuju mengadakan gencatan senjata, dengan Mesir menjadi pengantara.