Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis nafi penduduk Kampung Pauh Lima lari dari saringan Covid-19

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Polis Kelantan menafikan dakwaan yang tular di media sosial berkenaan 200 penduduk Kampung Pauh Lima, Bachok lari meninggalkan kampung kerana enggan menjalani ujian saringan Covid-19.

Ketua Polis Kelantan, DCP Shafien Mamat berkata, dakwaan tersebut adalah tidak benar dan menasihatkan orang ramai merujuk sumber yang sahih.

“Saya mengesahkan berita tersebut adalah berita palsu dan polis Kelantan menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan berita palsu dan sentiasa berwaspada dengan penyebaran maklumat atau diragui kesahihannya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Terdahulu, tular satu dakwaan di media sosial yang menyatakan seramai 200 penduduk di lokaliti tersebut melarikan diri kerana enggan menjalani saringan Covid-19.

Kampung Pauh Lima dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 19 Mei ini sehingga 1 Jun membabitkan seramai 1,032 penduduk.

Kampung berkenaan terletak di sempadan antara daerah Kota Bharu dan daerah Bachok. 

Sebahagian daripada kampung itu termasuk dalam mukim Banggu, daerah Kota Bharu dan sebahagian lagi termasuk dalam mukim Gunong, daerah Bachok.

Pada 19 Mei lalu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Dr Zaini Hussin berkata pihaknya sudah mempunyai 423 sampel ujian saringan Covid-19 penduduk Kampung Pauh Lima dan daripada jumlah itu, seramai 84 orang disahkan positif Covid-19 manakala keputusan selebihnya akan diperoleh selepas tiga hari lagi.

Sementara itu, Shafien menegaskan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya membuat dan menyebarkan berita palsu kepada orang ramai sehingga mencetus kebimbangan.

Tambahnya lagi, tindakan tegas akan diambil sekiranya dibukti bersalah mengikut Peruntukan Undang-Undang Dibawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Oleh yang demikian, pihak Polis Kelantan ingin menegaskan kepada orang ramai untuk tidak menularkan ataupun menyebarkan sebarang berita tidak benar tanpa merujuk kesahihannya kepada pihak yang bertanggungjawab.

“Tindakan boleh diambil oleh pihak berkuasa jika terdapat perlakuan kesalahan di bawah Akta Komunikasi Dan Multimedia (AKM) 1998,”katanya.