Shafee ‘sembunyi’ RM9.5 juta yuran guaman dari LHDN - Pendakwaan
Peguam Muhammad Shafee Abdullah menyembunyikan cukai pendapatan dari bayaran guaman RM9.5 juta yang diterimanya daripada bekas perdana menteri Najib Razak.
Timbalan pendakwa raya Afzainizam Abdul Aziz berkata demikian dalam pernyataan pembukaan pihak pendakwaan pada hari pertama perbicaraan pengubahan wang haram terhadap Shafee melibatkan wang RM9.5 juta.
“Tertuduh adalah peguam bela dan peguam cara di mahkamah ini.
"Pihak pendakwaan akan membuktikan bahawa tertuduh, dengan kemampuannya sebagai peguam bela dan peguam cara menerima sejumlah RM9.5 juta sebagai bayaran, tetapi dengan sengaja menyembunyikan fakta itu dari lembaga hasil (Lembaga Hasil Dalam Negeri atau LHDN)," hujah DPP di Mahkamah Tinggi Lumpur hari ini.
Pada 13 September 2018 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Shafee mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan berkaitan RM9.5 juta yang didakwa diterima daripada Najib melalui dua cek.
Dia didakwa dengan dua tuduhan pengubahan wang haram melebihi RM9.5 juta, yang didakwa terima dalam dua bahagian: RM4.3 juta pada 13 September 2013, dan pembayaran kedua sebanyak RM5.2 juta pada 17 Februari 2014.
Shafee juga didakwa dengan dua tuduhan memberikan pernyataan palsu kepada LHDN berkaitan dengan pembayaran itu pada 3 Mac dan 29 Jun 2015.
Peguam berusia 69 tahun itu didakwa memasukkan kedua-dua cek tersebut ke akaun peribadinya di cawangan bank CIMB di Bukit Tunku, Kuala Lumpur.
Shafee didakwa di bawah Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001bagi dua tuduhan pengubahan wang haram)
Dia juga didakwa di bawah Seksyen 113 (1) (a) Akta Cukai Pendapatan 1967 atas dua tuduhan penyataan palsu yang melibatkan LHDN.
'Versi tidak konsisten'
Kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur. Hari ini merupakan hari pertama perbicaraan di hadapan hakim Muhammad Jamil Hussin.
Najib juga kini menghadapi perbicaraan jenayah berasingan, antaranya adalah kes rasuah melibatkan dana RM2.28 bilion 1MDB.
Semasa prosiding, Afzainizam berhujah bahawa Shafee tidak menyatakan jumlah RM9.5 juta kepada LHDN seperti yang disyaratkan oleh undang-undang.
DPP berpendapat pihak pendakwaan akan berusaha membuktikan di mahkamah bahawa keadaan di mana wang yang diterima dan disembunyikan dari LHDN merupakan bukti di mana mahkamah boleh membuat kesimpulan bahawa tertuduh terlibat dalam kegiatan yang tidak sah dan dengan demikian telah melakukan pengubahan wang.
“Pihak pendakwaan akan membuktikan bahawa tertuduh memberikan versi yang tidak konsisten mengenai alasan pembayaran tersebut.
"Dalam pernyataannya kepada pegawai SPRM yang direkodkan menurut Seksyen 30 (3) (b) Akta SPRM 2009 pada 28 Julai 2017, tertuduh mengatakan wang yang dipersoalkan adalah bayarannya.
"Tetapi mahkamah boleh mempertimbangkan bahawa wang itu dimasukkan ke akaun peribadi tertuduh dan bukan ke akaun firma Tetuan Shafee & Co dengan cara yang dipraktikkannya,"
Pernyataan lanjut direkodkan dari tertuduh di bawah peruntukan yang sama pada 11 September 2018.
Dalam pernyataan itu, Shafee berkata pada 5 September 2013, dia dan Najib bersetuju bahawa wang yang dipertikaikan adalah pinjaman kepada tertuduh sementara menunggu rasionalisasi yuran dibayar kepadanya.
"Dalam proses merekodkan kenyataan ini , tertuduh menyerahkan surat kepada pegawai rakaman, yang dikatakan olehnya, pada 12 September 2013, dan dikatakan memiliki tandatangan Najib.
"Pihak pendakwa tidak menerima surat ini sebagai asli. Ini adalah kes kita bahawa surat itu muncul pada waktu setelah 28 Julai 2017, "kata Afzainizam, sambil menambah pihak pendakwaan bergantung kepada bukti-bukti tidak langsung untuk membuktikan kes mereka.
“Selanjutnya, tertuduh dalam kenyataan akhbar bertulis bertarikh 8 September 2018, dan ditandatangani olehnya, mengatakan bahawa pembayaran RM9.5 juta adalah yuran kerana dia menunggu rasionalisasi dokumen seperti yang dipersetujui oleh Najib.
"Pihak pendakwaan berpendapat bahawa pernyataan akhbar itu, jika dibaca secara keseluruhan, mengatakan bahawa wang tersebut adalah pinjaman," kata Afzainizam.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai