Skip to main
Logo Malaysiakini

Benarkan kedai buku dibuka ketika PKPD - Kota Buku

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Perbadanan Kota Buku (PKB) menggesa kerajaan supaya menyenaraikan kedai buku dalam senarai perkhidmatan perlu bagi membolehkannya beroperasi ketika perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Mutalib Uthman, berkata saranan itu selaras dengan aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

"Pada masa ini, kedai buku tidak termasuk dalam senarai perkhidmatan perlu. Tidak semua orang mempunyai kemudahan untuk membeli barangan secara dalam talian.

"PKB menggesa supaya kedai buku dibenarkan untuk beroperasi dengan menyenaraikanya sebagai sebahagian daripada perkhidmatan perlu.

"Langkah ini dapat membantu pelajar dan pendidik dalam melaksanakan PdPR di samping menggerakkan ekonomi dalam industri buku," kata Mutalib yang nama sebenarnya Saufy Nizar Abdul Rahman.

Mutalib berkata, prosedur oeprasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) Mukim Hulu Minta Daerah Kinta Perak tidak memasukkan kedai buku sebagai perkhidmatan perlu.

Pada 26 April lalu, Menteri Kanan (Pendidikan), Radzi Md Jidin mengumumkan proses PdPR dilaksanakan selepas Aidilfitri selama dua minggu bagi menggantikan sesi bersemuka di sekolah.

Ia susulan penularan gelombang ketiga wabak Covid-19 di negara ini.

Sesi pembelajaran itu bermula 16 hingga 27 Mei bagi sekolah kumpulan A (sekolah-sekolah di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan 17 hingga 28 Mei bagi sekolah kumpulan B (sekolah-sekolah di Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).

Radzi berkata, keputusan itu dibuat bagi mengelak risiko jangkitan Covid-19 di sekolah selepas cuti sekolah bagi meraikan perayaan Aidilfitri yang dijadualkan pada 7 hingga 15 Mei bagi sekolah kumpulan A dan 8 sehingga 16 Mei bagi sekolah kumpulan B.

Jelasnya, selepas tempoh PdPR itu, murid dan pelajar akan menyambung cuti penggal yang bermula 28 Mei sehingga 12 Jun bagi sekolah kumpulan A dan 29 Mei sehingga 13 Jun bagi sekolah kumpulan B.

Sementara itu, Mutalib berkata aktiviti PdPR bukan hanya membabit pembelajaran secara dalam talian semata-mata.

Namun, ia memerlukan kepada peralatan pendidikan yang lain termasuk buku rujukan.

"Aktiviti PdPR ini bukan melibatkan aktiviti pembelajaran dalam talian semata-mata.

"Buku rujukan tambahan, pelbagai peralatan seperti kertas, pen, dakwat pencetak dan sebagainya juga diperlukan," katanya lagi dalam kenyataan hari ini.