Skip to main
Logo Malaysiakini

DAP Pulau Pinang nafi tulis surat bagi pihak 'penyumbang vaksin'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

DAP Pulau Pinang menafikan parti itu menulis surat bagi pihak ahli perniagaan Yong Chee Kong, yang didakwa merancang untuk menyumbangkan dua juta dos vaksin Covid-19 kepada negeri ini.

Ini susulan dakwaan Yong dalam satu wawancara bahawa DAP Pulau Pinang telah menulis sepucuk surat untuk disampaikan sebagai surat rasmi bagi tujuan menyumbangkan vaksin berkenaan.

"Ini adalah tuduhan serius dan tidak berasas. DAP Pulau Pinang tidak menulis surat seperti yang didakwa itu, dan laporan polis telah dibuat hari ini," kata Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Yong adalah warga Malaysia, yang mendakwa dirinya bekerja di Xintai Enterprise Development Ltd - sebuah syarikat yang berpusat di Hong Kong.

Dalam satu wawancara, dia mendakwa bahawa tawaran sumbangan vaksin tersebut adalah inisiatif peribadi. Dalam wawancara lain, dia mengaku bertindak bagi pihak "bosnya" di Hong Kong.

Menurut laporan, pada awalnya dia menawarkan untuk menyumbangkan vaksin Sinovac kepada kerajaan negeri Sabah, yang menolak tawarannya itu.

Yong kemudiannya mendakwa bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang menghubunginya untuk mendapatkan vaksin tersebut.

Cubaannya untuk menyumbangkan vaksin terdedah berikutan kenyataan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick), Khairy Jamaluddin yang mendakwa bahawa tawaran Yong itu adalah palsu dan syarikat yang dikaitkan tidak wujud.

Ini disebabkan oleh kesalahan ejaan nama syarikat dalam surat yang didakwa disediakan oleh kerajaan Pulau Pinang untuknya.

Pejabat Khairy juga dilaporkan ada berhubungan dengan Yong dan pihaknya mendakwa ahli perniagaan itu belum mengemukakan bukti mengenai sumbangan vaksin yang dirancang tersebut.

Yong disoal siasat oleh polis hari ini.

Chow, yang juga adalah pengerusi DAP Pulau Pinang, memohon maaf atas kontroversi mengenai dakwaan sumbangan tersebut dan berjanji bahawa kerajaan negeri akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.

Dia juga berkata bahawa dirinya telah menulis surat kepada Khairy hari ini, memohon izin untuk Pulau Pinang mendapatkan vaksin Covid-19 sendiri.