Skip to main
Logo Malaysiakini

Umno sokong PKP penuh dengan lapan syarat

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Umno menyokong jika pelaksanaan penuh perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh dengan mengemukakan lapan syarat kepada kerajaan.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, berkata peningkatan kes Covid-19 amat membimbangkan dan memerlukan tindakan drastik daripada kerajaan.

Lapan syarat yang dikemukakan Ahmad Zahid, antaranya PKP penuh minimum 21 hari seperti Hong Kong, Vietnam dan Singapura.

Katanya, PKP yang dilaksanakan sehari sebelum hari raya Aidilfitri, tapi hakikatnya masih membenarkan sektor ekonomi beroperasi seperti biasa sedangkan fakta menunjukkan lambakan kluster jangkitan Covid-19.

"Kerajaan seharusnya melaksanakan PKP yang ketat dengan menutup semua sektor ekonomi dan sosial selama 21 hari.

"PKP yang sekadar hangat-hangat tahi ayam ini tidak akan membantu mengurangkan kes jangkitan Covid-19 ini dan buktinya ialah PKP 2.0 serta pelaksanaan darurat sebelum ini yang tidak menyumbang langsung kepada pengurangan kes jangkitan Covid-19.

"Kerajaan harus dengan segera mewajibkan sektor perbankan melaksanakan moratorium tiga hingga enam bulan tanpa apa-apa syarat dalam usaha mengurangkan beban rakyat ketika PKP 3.0 ini," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Jelasnya, sepanjang PKP 1.0 dan PKP 2.0, sektor perbankan masih mampu menjana keuntungan maka kerajaan seharusnya tegas memastikan kebajikan rakyat terbela dengan memberikan moratorium tanpa syarat.

Gesaan pelaksanaan PKP penuh disuarakan beberapa pihak berikutan peningkatan kes Covid-19 mendadak di seluruh negara.

Bekas perdana menteri, Mahathir Mohamad dan Najib Razak antara yang menggesa kerajaan supaya melaksanakan PKP penuh.

Semalam, Malaysia mencatatkan 6,806 kes baru semalam dan menjadikannya jumlah tertinggi direkodkan negara sejak dilanda pandemik itu.

Selangor masih lagi mencatatkan kes harian tertinggi.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, bantuan prihatin kepada rakyat perlu ditingkatkan dan dilaksanakan serta-merta.

"Bantuan-bantuan ini tidak hanya memfokuskan kepada B40 semata-mata tetapi juga kepada golongan M40 serta pengusaha-pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

"Kerajaan PN harus pertimbangkan untuk meneruskan i-lestari dan i-Sinar sementara bantuan 'one-off' diberikan kepada sektor yang terjejas teruk ketika ini seperti pelancongan dan IKS. Bantuan pinjaman kewangan juga harus disediakan oleh kerajaan kepada rakyat," katanya.

Selain itu Ahmad Zahid menggesa kerajaan menyegerakan agihan 150,000 komputer riba kepada pelajar dari 500 buah sekolah yang sehingga ke hari ini masih belum menerimanya.

“Umno mendesak agar kerajaan dengan segera melaksanakan program ini dengan pemberian terus komputer riba kepada pelajar dan bukannya diberikan sebagai pinjaman.

“Malah, pemberian komputer riba harus meliputi semua pelajar peringkat rendah dan menengah dan bukannya bertumpu kepada 150,000 pelajar sahaja,” katanya.