Skip to main
Logo Malaysiakini

Jawatankuasa tamat darurat pohon Agong tetapkan tarikh menghadap

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Jawatankuasa Merayu Penamatan Proklamasi Darurat hari ini memohon Istana Negara dapat menetapkan tarikh yang tertentu bagi mereka menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Permohonan itu merupakan susulan surat setiausaha sulit kanan kepada Agong buat jawatankuasa terbabit pada 20 April lalu yang menyatakan perkenan Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menerima mereka menghadap bagi menyerahkan memorandum merayu menamatkan darurat. 

Ahli jawatankuasa badan berkenaan, Khairuddin Abu Hassan, berkata majlis menghadap itu amat penting untuk membolehkan mereka menyembah maklum rayuan rakyat.

"Majlis mengadap ini amat penting untuk sembah maklum kepada Tuanku ke arah menerangkan perasaan gundah-gulana rakyat di saat negara menghadapi pelbagai bencana seperti pandemik Covid19, keruntuhan ekonomi dan ketidak-stabilan politik negara yang amat kucar-kacir masa kini," katanya dalam kenyataan dikeluarkan.

Darurat di negara ini berkuat kuasa mulai 11 Jan lalu selepas ia diumumkan pada 12 Jan. Ekoran pelaksanaan darurat sehingga Ogos ini, sidang parlimen digantung.

Kerajaan berkata pelaksanaan darurat itu penting untuk membendung wabak Covid-19 tetapi pengkritik membidas alasan itu dan mendakwanya sebagai usaha kerajaan untuk terus berkuasa di sebalik majoriti yang dimiliki Perdana Menteri Muhyiddin Yassin terus diragui.

Justeru wujud pelbagai desakan agar kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengadakan sidang Dewan Rakyat bagi membincangkan keadaan semasa negara.

Al-Sultan Abdullah juga sebelum ini sudah menyatakan pandangannya bahawa darurat tidak menghalang parlimen bersidang dan baginda menunggu nasihat daripada kerajaan pimpinan Muhyiddin yang juga presiden Bersatu.

Bagaimanapun sehingga kini belum nampak sebarang tanda PN akan menasihatkan Agong untuk mengadakan sidang berkenaan.

Sejak darurat diumumkan, kematian Covid-19 meningkat dari 559 kepada 2,149 setakat semalam, sementara kes kumulatif pula meningkat dari 141,533 kes menjadi 498,795 kes untuk jangka waktu yang sama.

Kata Khairuddin, parlimen ialah lambang kesuburan demokrasi dan di negara lain yang mengisytiharkan darurat kerana Covid-19, tidak ada kerajaan yang mengambil tindakan menutup parlimen mereka.

Dia juga mendakwa kerajaan PN gagal dari segenap segi dalam pengurusan wabak itu, termasuk dalam aspek rancangan pendidikan, mengawal pelaburan, membantu peniaga, serta peluang pekerjaan dan perniagaan yang katanya semakin menguncup.

Pelaksanaan dasar kerajaan dan perbelanjaan wang kerajaan juga katanya dibuat secara sewenang-wenangnya tanpa melalui proses semak dan imbang ekoran parlimen yang kini digantung.

“Rakyat tuanku meletakkan sandaran terakhir kepada Majlis Raja-raja Melayu bagi memainkan peranan memayungi keseluruhan rakyat secara adil serta saksama demi menjaminkan kesejahteraan masa depan rakyat Malaysia,” katanya lagi.