Skip to main
Logo Malaysiakini

Dr M tempelak 'Mak Teh': Ayaq nyoq nak buat apa

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini menempelak golongan yang menyebarkan berita palsu mengenai vaksin.

Ahli parlimen Langkawi itu pada ciapan di Twitter mengulas rakaman suara tular daripada individu yang menggelarkan dirinya 'Mak Teh'.

Klip rakaman suara itu mendakwa 40 jururawat dan staf hospital di seluruh Malaysia meninggal dunia selepas divaksin dan maklumat itu disembunyikan pihak berkuasa.

Mak Teh bercakap loghat utara dalam rakaman itu turut menyarankan penerima vaksin minum air kelapa (ayaq nyoq) bertujuan membersihkan daripada 'racun'.

“Ayaq nyoq (air kelapa) nak buat apa? Kalau betul pi (pergi) lah sendiri minum ayaq nyoq.

"Lepas tu cium orang yang sakit Covid-19 ini dan tengok nak jadi apa. 

"Bolehkah ayaq nyoq tu bertahan (daripada jangkitan),” kata Dr Mahathir.

Tegasnya, tindakan tidak bertanggungjawab sebegitu akan menyebabkan ramai orang enggan divaksin.

Lantaran itu, katanya ramai orang pula yang akan berisiko dijangkiti Covid-19 dan boleh membawa maut.

“Saya tidak percaya (40 jururawat meninggal dunia kerana vaksin) kerana saya dan isteri sudah disuntik (dengan vaksin)... tak ada ada apa pun.

“Ini satu dakyah yang tiada asas. Ia sebenarnya menghukum mati orang yang tidak dapat vaksin," katanya.

“Apabila mereka mati, itu tanggungan Mak Teh lah, dosa atau tak berdosa,” katanya lagi.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.