Skip to main
Logo Malaysiakini

'Hanya kemuka pas kerja, surat majikan untuk bergerak di kawasan PKPD di Perak'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pekerja perkhidmatan perlu dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di empat mukim di Perak tidak lagi dikehendaki mengemukakan ujian saringan kesihatan untuk keluar dan masuk bagi urusan kerja di kawasan terbabit.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata mereka dibenarkan bergerak dengan hanya mengemukakan pas kerja atau surat majikan.

“Sebelum ini, prosedur operasi standard (SOP) menetapkan mana-mana individu perkhidmatan perlu yang tinggal di dalam kawasan PKPD dan bertugas di luar harus menjalani saringan kesihatan terlebih dahulu di klinik kesihatan berdekatan.

"Mengikut SOP yang terbaru, saringan kesihatan tidak diperlukan lagi," menurutnya dalam kenyataan ringkas semalam.

Empat mukim yang dikenakan PKPD bermula semalam hingga 4 Jun di Perak ialah Mukim Pengkalan Hulu di daerah Hulu Perak; Mukim Taiping di daerah Larut, Matang dan Selama; Mukim Hulu Kinta meliputi Ipoh, Lahat, Chemor dan Tanjong Rambutan di daerah Kinta serta Mukim Hulu Bernam Timur di daerah Muallim.

Sebanyak 276 kes baharu Covid-19 dilaporkan di Perak semalam dengan 265 jangkitan tempatan dan 15 jangkitan dari luar negeri.

-- BERNAMA