Skip to main
Logo Malaysiakini

HPKK UKM, Hospital Cyberjaya dipertimbang jadi hospital Covid-19

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kementerian Kesihatan sedang melihat kemungkinan untuk menjadikan Hospital Pakar Kanak-kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (HPKK UKM) dan Hospital Cyberjaya sebagai hospital Covid-19, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam kenyataan di Facebook, Dr Noor Hisham berkata cadangan itu dibincangkan dalam mesyuarat antara Kementerian Kesihatan dan UKM.

"Malaysia mengalami peningkatan kemasukan ke ICU (unit rawatan rapi) di seluruh negara sebanyak 60 peratus jika dibanding dengan tempoh dua minggu yang lepas, manakala Lembah Klang mencatat peningkatan lebih tinggi iatu 94 peratus berbanding tempoh yang sama.

"Kadar penggunaan katil ICU di hospital-hospital di Lembah Klang kini adalah melebihi 100 peratus," katanya.

Jelas Dr Noor Hisham, HPKK UKM yang terletak di sebelah Hospital Canselor Tuanku Muhriz, mempunyai kapasiti 243 katil, termasuk 28 katil berukuran dewasa yang berpotensi digunakan untuk merawat Covid-19, terutama yang mengalami gejala serius.

Tambahnya, di bawah Seksyen 3 dan Seksyen 4 Ordinan Darurat 2021, kementerian dapat melaksanakan pemilikan sementara bangunan dan permintaan penggunaan sumber (termasuk sumber manusia) hospital pengajar dan swasta bagi maksud menangani wabak Covid-19 ini.

 

Selain HPKK UKM, Dr Noor Hisham dilaporkan mengatakan bahawa kementerian juga meneliti kemungkinan mengubah Hospital Cyberjaya yang baru menjadi hospital Covid-19.

Selain memaksimumkan kapasiti hospital kerajaan, KKM juga melibatkan hospital swasta untuk merawat pesakit Covid-19.

Dalam surat bertarikh 20 Mei kepada hospital swasta, Dr Noor Hisham mengatakan KKM memerlukan kerjasama hospital swasta berikutan peningkatan jumlah pesakit Covid-19.

Malaysia menyaksikan lonjakan kes Covid-19 pada pertengahan April, melepasi 2,000 kes baru dan angka itu meningkat tiga kali ganda dalam masa kurang dari 40 hari.

Semalam, Malaysia mencatatkan 6,320 kes baru Covid-19 dan 50 kematian.