Skip to main
Logo Malaysiakini

KKM perjelas kaedah pelitup muka berganda tingkat perlindungan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini tampil menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan keberkesanan pemakaian pelitup muka berganda dengan memetik Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS).

Penjelasan itu hadir selepas Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob hari ini mengesyorkan rakyat memakai dua pelitup muka di kawasan berisiko tinggi, meskipun ia bukanlah suatu kewajipan.

KKM berkata berdasarkan kajian CDC, pemakaian pelitup muka secara berganda dapat memberikan perlindungan sehingga 85.4 peratus berbanding hanya 56.1 peratus jika memakai pelitup muka perubatan dengan cara biasa (tunggal).

Kata KKM pemakaian berganda pelitup muka disyorkan dengan menggandingkan pelitup muka perubatan dengan pelitup muka jenis kain.

Nasihat KKM, orang ramai wajar mengelakkan diri daripada menggunakan dua pelitup muka dari jenis yang sama, sama ada pelitup muka perubatan mahupun pelitup muka kain.

“Sememangnya pemakaian dua pelitup muka akan menjadikan pernafasan sedikit sukar, namun secara umumnya penggunaan pelitup muka perubatan (3-ply surgical mask) dengan pelitup muka kain dapat digunakan dengan baik oleh kebanyakan pengguna dan ia tidak mengurangkan pembekalan oksigen kepada pemakai,” kata KKM dalam satu kenyataan.

Buat pengguna yang tidak berminat memakai pelitup muka secara berganda pula mereka masih ada pilihan lain untuk meningkatkan perlindungan.

Ia termasuklah mengikat gelung telinga pelitup muka perubatan yang dipakai, yang dapat meningkatkan perlindungan sehingga ke 77 peratus.

Ia dilakukan dengan mengikat gelung telinga dengan simpulannya diikat dekat dengan bahagian sisi tepi pelitup muka, manakala bahagian hujung pelitup muka pula dicerut/dilipat rapat bagi mengurangkan jurang bukaan pada muka.

Selain itu, pengguna boleh menggunakan pelitup muka jenis N95 yang dapat menapis 95 peratus partikel, justeru tiada lagi keperluan untuk mengenakan pelitup muka berganda.

Panduan penuh boleh didapatkan di sini.