Skip to main
Logo Malaysiakini

SKMM gesa penyedia platform media sosial agresif banteras akaun palsu

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kesal dengan penyedia perkhidmatan media sosial kerana gagal mengambil tindakan pantas terhadap laporan mengenai akaun palsu yang dikemukakan suruhanjaya berkenaan.

SKMM yang meluahkan kekecewaan itu dalam satu kenyataan menegaskan pihak penyedia platform seperti Facebook, Twitter, Instagram, WhatsApp dan Telegram lambat bertindak terhadap akaun palsu terutama bagi tujuan penipuan.

“Kelewatan tindakan berhubung perkara ini dibimbangi akan merencatkan usaha SKMM melindungi pengguna media sosial daripada akaun-akaun palsu terutamanya yang menyamar dan menyalahgunakan identiti individu dan entiti lain, yang boleh menyebabkan kerugian wang ringgit kepada pengguna,” kata SKMM.

Dalam kenyataan sama, SKMM menegaskan oleh kerana platform sedemikian yang tidak dilesenkan kerana beroperasi di luar Malaysia, SKMM amat bergantung kepada tindakan yang dibuat oleh pihak penyedia platform dalam menangani isu tersebut.

Justeru, SKMM gesa pihak penyedia platform untuk lebih bertanggungjawab, responsif dan bertindak pantas terhadap setiap laporan yang dikemukakan oleh suruhanjaya tersebut.

SKMM secara tegas menyatakan pihak penyedia platform secara langsung mempunyai tanggungjawab bagi memastikan platform yang dihoskan pihak mereka adalah selamat kepada pengguna.

“Tindakan pantas yang diambil adalah penting dan perlu demi melindungi kepentingan serta keselamatan pengguna,” katanya.

Dalam pada itu, SKMM menasihatkan pengguna supaya berwaspada, kekal selamat dan menjadi seorang pengguna bertanggungjawab yang mengamalkan penggunaan internet secara berhemah serta mengelak menjadi mangsa kepada akaun palsu yang menyalahgunakan rangkaian media sosial.

- Bernama