Skip to main
Logo Malaysiakini

Lim: Apa jadi pada tawaran damai DAP untuk Muhyiddin?

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Selepas empat hari berlalu DAP hari ini tampil bertanyakan mengenai "tawaran damai" yang dibuat parti itu kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin agar mengadakan sidang parlimen.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata dalam situasi semasa ini parlimen perlu bersidang agar kemelut yang sedang dihadapi dapat dibahas.

Kata Lim untuk mengembalikan kepercayaan rakyat, Muhyiddin harus mengambil tanggungjawab atas kegagalannya dan kembali bergantung kepada sains dan data serta berinteraksi agar dia dapat mendengar suara rakyat.

"Bagi melibatkan keseluruhan masyarakat, dia perlu membuka semula parlimen," katanya.

Ketika sektor perkilangan dibenarkan beroperasi walaupun pekerja tidak diberi vaksin, kata bekas menteri kewangan itu, parlimen masih tidak boleh dibuka walaupun semua 220 anggotanya sudah mendapat vaksin masing-masing.

"Sehingga kini, Muhyiddin masih belum memberi respon kepada tawaran damai DAP untuk tidak menyokong usul tidak percaya terhadapnya apabila sidang parlimen diadakan demi melancarkan usaha menyeluruh masyarakat memerangi Covid-19," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 21 Mei lalu DAP berjanji untuk tidak akan menyokong usul tidak percaya ke atas Muhyiddin jika presiden Bersatu itu mengadakan mesyuarat tergempar parlimen.

Kata Lim semua 42 ahli Parlimen DAP hanya mahu membincangkan langkah pencegahan Covid-19, program vaksinasi dan perkara-perkara yang berkaitan sahaja.

"Bagi meredakan ketakutan politik melampau Muhyiddin sekiranya parlimen bersidang, DAP memberi jaminan 42 ahli parlimen kami tidak akan menyokong sebarang usul undi tidak percaya terhadapnya tetapi hanya akan membincangkan langkah pencegahan Covid-19, Program Imunisasi Kebangsaan dan perkara yang berkaitan," katanya. 

Amalan dua darjat

Untuk rekod darurat yang diumum Muhyiddin beberapa bulan lalu membolehkan parlimen digantung. Ia berlaku ketika dia berdepan dengan dakwaan hilang sokongan majoriti di parlimen.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah juga berpendapat sidang parlimen boleh diadakan walaupun darurat berkuat kuasa, dan baginda menunggu nasihat daripada kerajaan untuk memberi perkenan ia dibuka.

Kata Lim perdana menteri sekali lagi gagal memahami dia perlu memimpin melalui teladan dengan mengamalkan pendekatan keseluruhan kerajaan sebelum boleh meminta rakyat untuk menyokongnya.

Tambah Lim elemen terpenting bagi mendapatkan sokongan rakyat atas pendekatan keseluruhan masyarakat disarankan Muhyiddin itu ialah mendapatkan keyakinan serta kepercayaan terhadap kecekapan pemimpin kerajaan, kebergantungan kepada sains dan data, dan bukannya keputusan subjektif yang mengejut.

"Malangnya, keyakinan dan kepercayaan rakyat kini berada pada tahap terendah dengan peningkatan tertinggi dalam kes Covid-19 melebihi 6,000 kes untuk lima hari berturut-turut dan peningkatan kes kematian kepada 2,248.

"Terdapat juga defisit kepercayaan dengan banyaknya dasar yang berubah-ubah dan pusingan U pada prosedur operasi standard Covid-19, amalan dua darjat dalam menguatkuasakan sekatan perintah kawalan pergerakan dan kelewatan bekalan vaksin," katanya.