Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis hampir selesai siasatan kes rogol dikaitkan Adun Gombak Setia

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Polis hampir menyelesaikan siasatan berhubung tuduhan rogol oleh mangsa berusia 33 tahun terhadap dua lelaki yang ada kaitan dengan Adun Gombak Setia, Hilman Idham.

Ketika dihubungi, Ketua Polis Kuala Lumpur, Azmi Abu Kassim berkata, siasatan yang bermula Disember lalu dijangka selesai tidak lama lagi.

"Siasatan kami hampir selesai.

"Kertas siasatan akan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara tidak lama lagi," kata Azmi kepada Malaysiakini.

Terdahulu Azmi memberitahu wartawan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur bahawa kertas siasatan akan diserahkan esok atau hujung minggu ini.

Azmi juga mengesahkan bahawa tidak ada tangkapan baru dilakukan selain dua individu yang dilaporkan ditahan pada Disember lalu dan dibebaskan dengan jaminan polis.

Mangsa membuat laporan polis pertama pada 5 Disember yang mendakwa dua lelaki merogolnya, namun menarik balik laporan pada 8 Disember kerana mendakwa diugut.

Dia bagaimanapun berubah fikiran dan meminta siasatan dilakukan pada Januari.

Salah seorang yang didakwa merupakan pemimpin bahagian parti komponen Perikatan Nasional, makakala seorang lagi dikatakan sebagai rakan Hilman.

Menurut laporan polis pertamanya, dia terbangun pada pukul 4 pagi (Sabtu, 5 Dis) di sebuah bilik hotel dalam keadaan berbogel sendirian.

Wanita itu yang merasakan dirinya telah dinodai kemudian menemui kondom di bilik mandi.

Wanita itu juga membuat laporan polis kedua pada 8 Mei dan mendakwa Hilman "merancang" insiden rogol tersebut setelah makan malam sempena sambutan hari jadi dan sesi berkaraoke di sebuah hotel di Sri Hartamas.

Dia sebelum ini menyatakan dirinya adalah wanita yang dilihat dipapah ke bilik hotel dalam rakaman CCTV yang tular awal bulan ini, oleh seorang lelaki yang didakwanya sebagai Hilman.