Skip to main
Logo Malaysiakini

Bengkak mata Najib kurang, tapi belum boleh hadir bicara 1MDB - Peguam

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Najib Razak masih belum boleh hadir perbicaraan kes rasuah 1MDB bernilai RM2.28 bilion hari ini selepas menjalani pembedahan mata minggu lalu.

Peguam bela utama kepada bekas perdana menteri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa seorang doktor telah menasihati tertuduh untuk berehat lebih lanjut.

"Pembengkakan (di sekitar mata) telah berkurang. Tetapi bengkak dan kemerahan masih ada.

“Dia (Najib) telah berjumpa dengan doktor yang menasihati dia untuk berehat dengan sewajarnya. 

"Dia akan terus berjumpa doktornya esok walaupun esok adalah hari cuti kebangsaan (Hari Wesak),” kata Shafee memaklumkan kepada Hakim Collin Lawrence Sequerah ketika prosiding pagi ini.

Ahli Parlimen Pekan, Najib tidak hadir di mahkamah manakala dua penjaminnya hadir semasa prosiding.

Semalam, perbicaraan ditangguhkan ke hari ini kerana Najib cuti perubatan, berikutan menjalani pembedahan pada kedua matanya pada hari Khamis minggu lalu.

Semasa prosiding hari ini, Sequerah mengosongkan perbicaraan hari inise hingga Khamis minggu ini (tidak ada perbicaraan esok kerana ini adalah cuti umum).

Hakim juga mengarahkan kedua-dua pasukan pendakwaan dan pembelaan untuk memastikan supaya anggota pasukan masing-masing dikurangkan ketika memasuki ruang mahkamah semasa prosiding pada hari Khamis.

Ini jelasnya, sebahagian daripada langkah berjaga-jaga SOP Covid-19.

Ahmad Akram Gharib dan timbalan pendakwa raya yang lain hadir bagi pihak pendakwaan hari ini.

Najib dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.

Selain bekas perdana menteri, dia juga bekas menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

1MDB adalah milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

Pada minggu ini, bekas CEO 1MDB Mohd Hazem Abd Rahman dijangka akan diperiksa balas oleh pasukan peguam Najib.

Selain perbicaraan yang ditangguhkan semalam dan hari ini, perbicaraan rasuah 1MDB bernilai RM2.28 bilion ini juga akan bersambung pada hari Khamis minggu ini.

[Baca laporan asal]